BAJET 2021: Menghentikan rokok seludup perlukan lebih daripada sekadar penguatkuasaan | DagangNews Skip to main content

BAJET 2021: Menghentikan rokok seludup perlukan lebih daripada sekadar penguatkuasaan

Oleh Pankaj Kumar  

 

DALAM temubual bersama sebuah stesen radio baru-baru ini, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengenengahkan dengan tepat keperluan kerajaan menangani isu-isu berkaitan ekonomi gelap, merujuk khusus kepada rokok seludup.

Pankaj
                                               Pankaj Kumar

 

 

Anggaran industri meletakkan ekonomi gelap atau pasaran gelap berada pada tahap 21% daripada ekonomi sebenar atau kira-kira RM300 bilion.

 

Perdagangan rokok seludup adalah yang terbesar dan paling rumit daripada semua sektor yang terkesan oleh ekonomi gelap. Kajian terbaharu mendapati enam daripada 10 rokok yang dijual di Malaysia hari ini adalah tidak sah, yang mengakibatkan Kerajaan kerugian lebih daripada RM5 bilion setahun dari segi cukai eksais.

 

Bagi mengurangkan perluasan dagangan rokok seludup, pendekatan hendaklah pelbagai serampang termasuk meningkatkan penguatkuasaan, pembaharuan cukai dan pendidikan kepada orang awam mengenai bahaya rokok seludup.

 

Mengenai penguatkuasaan, pihak berkuasa hendaklah melakukan pemeriksaan yang kerap dan mengenakan tindakan yang konsisten di peringkat kedai runcit di mana pengedaran sebenar rokok seludup dilakukan. Barangan tersebut hendaklah dirampas dan penjual didakwa di mahkamah menerusi peruntukan undang-undang yang ada dengan sepenuh-penuhnya. Bagi membolehkan lebih keberkesanan dan kecekapan oleh pihak berkuasa, kerajaan hendaklah memperkasakan mereka dengan sumber-sumber yang diperlukan.

 

Walau bagaimanapun, peningkatan dagangan rokok seludup di Malaysia sejak beberapa tahun ini jelas menunjukkan penguatkuasaan sahaja tidak memadai untuk menghentikan permasalahan ini.

 

Kita juga perlu menangani isu mengenai faktor harga kerana sememangnya produk sah kalah kepada rokok seludup dari segi harga. Faktor harga adalah isu berkaitan kepada pendapatan masyarakat kerana hari ini, demografik perokok didominasi oleh pekerja berkolar biru dan berpendapatan rendah.

 

Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kita ialah RM2,208 pada 2019 dan kira-kira 5.6% isi rumah tergolong dalam kategori ini manakala PGK Relatif ialah RM2,937. Dengan menganggarkan sekotak rokok 20 batang adalah berharga RM17.40, jika seseorang merokok 20 kotak sebulan, ia berjumlah RM350 sebulan – bersamaan dengan 16% daripada PGK dan 12% PGK Relatif. Dengan perbelanjaan besar sedemikian, maka lazimnya pengguna akan mahukan produk berharga lebih murah dari pasaran dan sememangnya cara terbaik untuk membelinya pada harga lebih murah atau hanya 1/3 daripada kos bila rokok itu adalah diseludup.

 

Dengan Bajet 2021 bakal dibentangkan tidak lama lagi, kerajaan wajar meneliti semula struktur cukai yang tinggi di Malaysia bagi sektor tembakau. Kehilangan hasil cukai kepada kerajaan adalah sangat besar, lebih-lebih lagi kesan buruk sosio-ekonomi yang dibawa oleh perdagangan rokok seludup. Menutup perbezaan harga antara produk sah dengan seludup akan menghentikan perniagaan rokok seludup kerana margin akan terhapus untuk mereka meneruskan kegiatan jenayah mereka.

 

Yang terakhir, pendidikan juga kritikal bagi membanteras perdagangan rokok seludup dan ekonomi gelap. Kita perlu meningkatkan usaha mendidik orang ramai supaya tidak membeli produk kontraban atau barangan tiruan. Di dalam kebanyakan kes, produk pasaran gelap berbeza daripada produk asli, dan ia membawa keburukan kepada kesihatan pengguna.

 

Sebagai rumusan, Menteri Kewangan telah menyentuh hal yang tepat pada tempat dan masanya apabila mengatakan  objektif sebenar ialah mendapatkan asas cukai dan perolehan lebih besar bagi kerajaan Malaysia.

 

Menangani secara berkesan ekonomi gelap ini adalah langkah ke arah yang betul. Dengan itu, kerajaan akan memiliki fleksibiliti lebih lagi untuk berbelanja bagi pembangunan, membolehkan mereka melonjakkan aktiviti perniagaan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi. - DagangNews.com

 

Pankaj Kumar merupakan penganalisis industri dan ekonomi.