Bajet 2022: Kerajaan peruntukan RM9.83 bilion bagi perbelanjaan pembangunan Sabah, Sarawak | DagangNews Skip to main content

Bajet 2022: Kerajaan peruntukan RM9.83 bilion bagi perbelanjaan pembangunan Sabah, Sarawak

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Nov - Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa menerusi Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan RM9.83 bilion untuk perbelanjaan pembangunan bagi Sabah serta Sarawak dan jumlah itu lebih 20% daripada jumlah peruntukan pembangunan untuk kesemua negeri di Malaysia.

 

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, Sabah menerima peruntukan sebanyak RM5.16 bilion iaitu peningkatan RM104 juta berbanding tahun lalu manakala Sarawak mendapt RM4.67 bilion dengan peningkatan sebanyak RM158 juta berbanding 2021.

 

Perbelanjaan pembangunan itu termasuk peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo iaitu meneruskan pembinaan Lebuh Raya dari Sindumin ke Rampayan Laut di Sabah dan Semantan ke Jalan Pujut Link di Sarawak.

 

Selain peruntukan itu, Kerajaan Persekutuan mengunjurkan peningkatan pemberian atau pembayaran pada 2022 berbanding RM1.13 bilion kepada Kerajaan Negeri Sabah dan RM1.24 bilion kepada Kerajaan Negeri Sarawak sekaligus kekal menjadi penerima terbesar dengan jumlah pemberian itu melebihi 30% daripada peruntukan kepada semua negeri. 

 

Bantuan tunai bernilai RM1.31 bilion telah memanfaatkan 864,000 warga negeri Sabah sementara RM1.49 bilion telah memanfaatkan 987,000 warga negeri Sarawak. Sehubungan itu, bantuan tunai yang diterima rakyat kedua-dua negeri itu melebihi 20% daripada jumlah pemberian bantuan tunai.

 

"Antara peruntukan yang disediakan melalui Bajet 2022 kepada Sabah dan Sarawak termasuk, menaik taraf sekolah daif melibatkan peruntukan sebanyak RM746 juta dan daripada jumlah 330 projek sebanyak 112 projek di Sabah dan 165 projek di Sarawak.

 

"Perluasan perlindungan PERKESO kepada sembilah kategori baharu iaitu artis, penjaja, perikanan, pertanian, sektor pelancongan, OKU, Orang asli, Orang asal Sabah Sarawak dan penyelia dan petugas Pemulihan Dalam Komuniti. Program Bumiputera Sabah dan Sarawak: Program pendidikan kepada anak-anak Bumiputera Sabah dan Sarawak berkenaan budaya dan warisan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta," kata kementerian itu.

 

Menerusi Bajet 2022, Kerajaan Persekutuan turut menubuhkan Bank Susu Ibu untuk bayi pra-matang di Neonatal Care Unit di Hospital Pulau Pinang, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak selain Pembiayaan kos pengangkutan dan pengedaran barang asas (LPG dan Petrol) ke kawasan luar bandar, khususnya Sabah dan Sarawak melibatkan peruntukan sebanyak RM200 juta.

 

Subsidi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM209 juta juga disediakan selain peruntukan pembangunan sebanyak RM1.5 bilion daripada jumlah RM2.5 bilion untuk pembangunan infrastruktur luar bandar diperuntukkan kepada kedua-dua negeri itu.

 

Penambahan lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am antaranya di Pagalungan, Sabah dan Temong Mura, Sarawak melibatkan peruntukan sebanyak RM2.2 juta selain menambah empat pintu masuk imigresen baharu antaranya di Telok Melano dan Baleh.

 

Tambahan 20 lagi perkhidmatan bank bergerak dijangka mula beroperasi merangkumi 250 kawasan dan mukim di luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak.

 

"Setakat ini, rakyat Sabah dan Sarawak juga telah memanfaatkan pelbagai bantuan lain seperti bantuan tunai, program subsidi upah, serta pelbagai program pekerjaan seperti carian pekerjaan, latihan dan peningkatan kemahiran, yang juga akan diteruskan di bawah Bajet 2022. 

 

"Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa perangkaan Bajet 2022 amat menitikberatkan pembangunan dan kesejahteraan kesemua rakyat, tanpa mengira negeri atau kaum, berdasarkan keperluan masing-masing agar semua rakyat bakal membangun dan mengecapi kemakmuran terutama sekali apabila negara kini berada di ambang pemulihan dan perkembangan ekonomi," katanya.-DagangNews.com