Bajet 2023: Beri maklum balas kepada Kertas Konsultasi Awam sebelum 22 September 2022 | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023: Beri maklum balas kepada Kertas Konsultasi Awam sebelum 22 September 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept - Semua pihak dijemput memberi maklum balas kepada kepada Kertas Konsultasi Awam (KKA) yang diterbitkan Kementerian Kewangan untuk Bajet 2023 yang bertajuk Inisiatif Rangka Kerja Pembiayaan Bagi Pembangunan Mampan sebelum 22 September 2022.

 

KKA berkenaan merupakan yang terakhir diterbitkan selaras dengan proses penyediaan Bajet 2023. 

 

Secara keseluruhan sebanyak enam KKA telah diterbitkan dan ia merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk menjadikan proses penyediaan Bajet tahunan lebih telus dan penglibatan semua pihak secara menyeluruh.

 

"KKA ini antara lain mempunyai objektif untuk memastikan rangka kerja pembiayaan bagi pembangunan mampan yang dibangunkan adalah komprehensif dan praktikal.

 

"Ia merupakan antara usaha untuk mencapai sasaran pelepasan gas rumah kaca bersih sifar (zero greenhouse gas emissions) seawal-awalnya 2050 menepati matlamat yang digariskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 selain memenuhi komitmen negara di peringkat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 

Semua pihak dijemput untuk memberi maklum balas kepada KKA tersebut yang boleh dicapai melalui pautan https://budget.mof.gov.my/bajet2023/kertaskonsultasi/.

 

Semua maklum balas yang diterima akan digunakan dalam merangka sebuah bajet tahunan yang memenuhi keperluan rakyat serta selaras dengan dasar pembangunan sosioekonomi negara. - DagangNews.com