Bangunkan ekonomi menerusi industri berasaskan kemahiran - Mohamed Azmin | DagangNews Skip to main content

Bangunkan ekonomi menerusi industri berasaskan kemahiran - Mohamed Azmin

Mohamed Azmin Ali
 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Malaysia berhasrat untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang bernilai lebih tinggi, bagi memastikan rakyat di negara ini dilengkapi dengan kemahiran yang cukup untuk pertumbuhan ekonomi masa hadapan.

 

Susulan itu, Malaysia mahu membentuk sebuah ekonomi yang lebih kompleks, dengan memastikan ekonomi negara akan dibangunkan berdasarkan industri yang berasaskan kemahiran. 

 

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kerajaan juga bercadang untuk memperluaskan hubungan domestik menerusi integrasi dengan ekonomi serantau dan memperkasakan lebih banyak perniagaan tempatan melalui penyertaan negara dalam rantaian nilai global.

 

"Kami mahukan pelaburan yang memiliki hasrat untuk berkembang ke seluruh rantau ASEAN.

 

"Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan inklusitiviti dengan memperjuangkan pertumbuhan yang adil kepada negara, memastikan peluang sama dan perlindungan yang mencukupi untuk rakyat," ucapnya pada Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2021, seperti dilaporkan Berita Harian.

 

Tambah beliau, Malaysia telah merumuskan lima Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang berfungsi sebagai kerangka untuk menghidupkan kembali landskap pelaburan negara serta meningkatkan daya tahan jangka panjang.

 

Ujarnya, NIA akan membuka potensi penuh Malaysia yang bakal mengurangkan halangan untuk mengakses serta menyepadukan ekonomi dengan lebih baik.

 

"Kami sudah melihat hasil pertama dari NIA dengan pelaburan yang diluluskan bernilai RM80.6 bilion dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan bagi suku pertama tahun ini, melonjak 95.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

 

"Saya percaya usaha untuk memacu produktiviti dan pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah tanggungjawab bersama yang mesti dipikul oleh semua pihak yang berkepentingan," katanya lagi. - DagangNews.com