KUALA LUMPUR 30 Mac - Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM) berkata ahli banknya akan memperluaskan penggunaan peruntukan utama yang seragam bagi perjanjian pinjaman perumahan kepada individu tanpa mengira jumlah pinjaman menjelang 1 April 2023.
Keahlian ABM terdiri daripada 26 bank perdagangan yang beroperasi di Malaysia, termasuk Maybank, CIMB Bank dan Public Bank.
ABM berkata ia mula memperkenalkan pada 2013 templat piawai untuk penerangan terma dan syarat utama berhubung pinjaman perumahan atau perjanjian pembiayaan rumah untuk individu yang melibatkan jumlah prinsipal RM500,000 dan ke bawah.
“Templat ini telah digunakan oleh bank ahli ABM sebagai sebahagian daripada perjanjian pinjaman perumahan untuk pinjaman harta kediaman yang ditetapkan kepada individu,” kata persatuan itu dalam kenyataan di sini hari ini.
“Selama bertahun-tahun, templat ini telah disemak untuk mencerminkan pelbagai perubahan dalam peraturan, dengan perubahan terbaharu dibuat pada 2021 untuk memudahkan bahasa yang digunakan dalam dokumen tersebut.”
ABM berkata inisiatif semasa bank untuk mengembangkan templat itu bertujuan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.
Selain itu, bank berharap dapat memudahkan pemahaman peminjam dan kebolehbandingan terma dan syarat utama perjanjian pinjaman perumahan menggunakan bahasa yang dipermudahkan, termasuk tanggungjawab dan kewajipan peminjam dan bank di bawah perjanjian tersebut.
"Bank ahli ABM komited untuk menegakkan hasil pengguna yang adil selaras dengan keperluan yang digariskan dalam dokumen dasar mengenai layanan adil terhadap pengguna kewangan dan polisi berkaitan yang dikeluarkan oleh pengawal selia," katanya. - DagangNews.com