Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, Mohd Muazzam Mohamed
KUALA LUMPUR 10 Mei - Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) berhasrat menyerahkan 30 unit rumah di bawah skim kemudahan Pembiayaan Peribadi-i Asnaf pada tahun ini dan berusaha memperluaskan skim itu di seluruh negara dengan Majlis Agama Islam Negeri yang berminat.
Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, Mohd Muazzam Mohamed berkata, bank itu telah menjadi perintis skim pembiayaan pemilikan rumah untuk golongan asnaf pada Julai tahun lepas.
Skim itu dilaksanakan melalui usaha sama Agensi Mengurus Zakat Negeri dengan kedua-dua pihak membiayai separuh daripada pembiayaan kediaman itu.
“Menerusi skim ini, asnaf berpendapatan tetap di bawah RM1,500 sebulan boleh memiliki kediaman sendiri sama ada di atas tanah sendiri atau selepas diizinkan oleh pemilik tanah.
“Menerusi kerjasama dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), dua unit rumah telah diserahkan kepada penerima yang layak pada Februari,” kata Mohd Muazzam, lapor Bernama.
Beliau berkata BIMB memulakan Program Bantuan Rumah Bank Islam pada 2008 bagi menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk golongan paling terjejas dan berkelayakan ini.
“Ia bermula di Kelantan, diikuti Terengganu dan program ini kemudiannya akan diperluaskan ke seluruh negara. Setakat ini, ia telah memanfaatkan lebih 300 asnaf yang melibatkan peruntukan melebihi RM9 juta,” katanya.
Pada Khamis lepas, cabang tanggung jawab sosial korporatnya, AMAL Bank Islam menyerahkan 11 unit rumah kepada asnaf terpilih di bawah Program Baiti Jannati dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan.
Program itu melibatkan peruntukan dana AMAL dan zakat berjumlah melebihi RM600,000 untuk membeli rumah yang sedang disewa 11 keluarga asnaf berkenaan daripada DBKL.
Mereka dikategorikan sebagai golongan miskin bandar yang berdaftar di bawah portal pembasmian kemiskinan yang diwujudkan kerajaan, e-Kasih. - DagangNews.com