Bank perlu jelaskan kesan moratorium kepada peminjam - BNM | DagangNews Skip to main content

Bank perlu jelaskan kesan moratorium kepada peminjam - BNM

 

 

KUALA LUMPUR 6 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) mahu institusi perbankan memberi penerangan kepada peminjam mengenai kesan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman terhadap jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan.

 

Ini kerana katanya, peminjam perlu memahami bahawa dengan mengambil bantuan bayaran balik pinjaman, kos pinjaman akan meningkat secara keseluruhan kerana faedah atau keuntungan akan terus terakru (diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh. 

 

Jelasnya, apabila peminjam memohon untuk mendapatkan bayaran ansuran yang lebih rendah (dan bukan mengekalkan bayaran ansuran yang asal) selepas moratorium, hal ini boleh menyebabkan tempoh pinjaman
mereka menjadi lebih panjang. 

 

"Namun, bank tidak akan mengenakan caj faedah ke atas faedah atau keuntungan atas keuntungan (iaitu faedah/keuntungan terkompaun) atau apa-apa faedah/keuntungan penalti sepanjang tempoh bantuan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), peminjam individu dan perusahaan mikro serta PKS yang terjejas akibat pandemik, boleh mula memohon moratorium selama 6 bulan mulai esok, 7 Julai.

 

Dalam hal ini, peminjam sama ada individu, perusahaan mikro ataupun PKS tidak perlu bimbang kerana permohonan untuk mendapatkan moratorium atau lain-lain pakej bayaran balik pembiayaan adalah mudah dan dokumen sokongan tidak diperlukan. Kelulusan juga akan diberikan secara automatik.

 

Selain moratorium, bank-bank juga akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej-pakej lain, termasuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pembiayaan yang sesuai dengan kedudukan kewangan khusus peminjam.

 

BNM turut memberi jaminan Rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) peminjam tidak akan terjejas akibat penerimaan apa-apa bentuk bantuan bayaran balik pinjaman pada 2021. 

 

"Industri perbankan telah memberikan komitmen dan keyakinan untuk membantu peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan disebabkan oleh sekatan pergerakan. 

 

"Sehubungan itu, BNM akan memantau dengan rapi pelaksanaan program bantuan bayaran balik pinjaman oleh industri perbankan," katanya. 

 

Menurut BNM, bantuan bayaran balik pinjaman ini ditawarkan untuk pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021. 

 

Pada masa permohonan dibuat, peminjam tidak mempunyaiansuran tertunggak melebihi 90 hari atau berhadapan dengan prosiding bankrap atau penggulungan. 

 

"Peminjam yang sudah berada dalam program bantuan bayaran balik pinjaman dan membayar balik pembiayaan
mereka mengikut terma program tersebut juga boleh memohon moratorium ini.

 

"Peminjam individu dan PKS yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman melebihi 90 hari dinasihati supaya menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan  Kredit (AKPK) bagi mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman yang sesuai dan khidmat nasihat kewangan secara percuma," tambahnya. 

 

BNM meminta mana-mana peminjam yang menghadapi kesukaran dengan bank-bank mereka, atau jika bayaran ansuran meningkat secara tidak munasabah, peminjam boleh menghubungi BNMTELELINK melalui bnm.my/RAsurvey untuk mengemukakan aduan. 

 

Peminjam juga boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang program bantuan bayaran balik pinjaman ini
dengan melayari bnm.gov.my/RA dan platform media sosial BNM. - DagangNews.com