KUALA LUMPUR 1 Julai - Pinjaman bagi sektor perbankan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.8% pada Mei 2024 dan ia berada dalam julat sasaran 5.5% hingga 6% untuk tahun ini.
Kenanga Research berkata, pertumbuhan itu didorong peningkatan 6.5% dalam pinjaman isi rumah, didorong permintaan untuk hartanah kediaman dan kenderaan pengangkutan.
Katanya, pinjaman perniagaan juga menyaksikan pertumbuhan, walaupun pada kadar yang lebih rendah sebanyak 4.8%, didorong oleh peningkatan keperluan modal kerja, khususnya dalam industri perkhidmatan.
"Dari bulan ke bulan, pinjaman perniagaan kekal stabil, mungkin disebabkan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyelesaikan pembayaran balik hutang berikutan peningkatan permintaan pada bulan-bulan sebelumnya semasa musim perayaan manakala pinjaman isi rumah terus berkembang, disokong oleh permintaan berterusan bagi gadai janji dan perjanjian sewa beli.
"Secara keseluruhan, landskap pemberian pinjaman pada Mei 2024 menunjukkan pertumbuhan yang teguh dalam kedua-dua sektor isi rumah dan perniagaan, sejajar dengan unjuran tahunan walaupun turun naik kecil pada asas bulanan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, permohonan pinjaman bagi Mei 2024 mencatatkan peningkatan sebanyak 3% dari tahun ke tahun berkemungkinan pemulihan daripada musim perayaan pada April 2024.
Katanya, ia akan menjelaskan peningkatan 13% dari bulan ke bulan merentas sektor. Pada kedua-dua asas, gadai janji menunjukkan pertumbuhan yang konsisten yang mungkin disebabkan oleh permintaan berterusan untuk rumah mampu milik.
"Pilihan utama sektor kami untuk suku ketiga 2024 ialah CIMB kerana ia berada di landasan tepat untuk mencatatkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 11% bagi jangka panjang disokong kehadirannya dalam pasaran tempatan dan serantau.
"Selain itu, hasil dividennya dijangka meningkat ke paras 6% dan ia merupakan yang tertinggi dalam kalangan tiga bank teratas," katanya.
Kenanga Reearch mengekalkan saranan 'outperform' bagi sektor perbankan.- DagangNews.com