Bantuan bayaran balik pinjaman UOB Malaysia dilanjutkan | DagangNews Skip to main content

Bantuan bayaran balik pinjaman UOB Malaysia dilanjutkan

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jun - UOB Malaysia telah melanjutkan Program Bantuan COVID-19 yang melibatkan pembayaran balik pinjaman kepada pelanggan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 seluruh negara bermula pada 1 Jun 2021.

 

Menurut UOB Malaysia, program bantuan yang diperkenalkan pada Mac 2020 dan dikaji semula pada Oktober 2020 itu, kini sedang dipertingkatkan sejajar dengan pakej bantuan Pemerkasa Plus yang diumumkan baru-baru ini.

 

“Bank akan menyediakan pelbagai pilihan bantuan pembayaran balik kepada pelanggannya seperti moratorium pembayaran balik tiga bulan; ansuran pembayaran balik bulanan yang dikurangkan sebanyak 50% bagi tempoh enam bulan; dan ansuran pembayaran balik bulanan yang dikurangkan, setimpal dengan pengurangan dalam pendapatan pelanggan untuk tempoh enam bulan,” jelas bank dalam satu kenyataan.

 

Program bantuan itu tersedia untuk individu yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik; individu yang pendapatannya terjejas teruk akibat pandemik dan pelanggan individu yang berdaftar di bawah program bantuan kerajaan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

 

Selain itu, turut ditawarkan kepada perusahaan mikro dengan kemudahan pinjaman atau pembiayaan sehingga RM150,000; perniagaan, termasuk perusahaan mikro, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP 3.0 ini dan perniagaan lain yang memerlukan bantuan kewangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Wong Kim Choong berkata, memandangkan pandemik ini mempunyai kesan berpanjangan ke atas perniagaan dan individu, bank kekal komited untuk menyokong pelanggan mereka yang memerlukan bantuan kewangan.

 

Wong Kim Choong
Wong Kim Choong

 

“Kami akan meneruskan usaha untuk menyediakan inisiatif bantuan yang bersesuaian dengan keadaan tertentu pelanggan kami. Dalam membantu pelanggan menghadapi tempoh yang mencabar ini, kami akan membantu mereka menguruskan keadaan kewangan dan juga muncul lebih teguh untuk pemulihan yang bakal berlaku,” katanya.

 

Pelanggan dengan sumber pendapatan yang terjejas akibat PKP 3.0 dinasihatkan menghubungi bank segera untuk menilai keadaan kewangan dan menentukan pilihan pembayaran balik yang sesuai dengan mereka.

 

Semua permohonan akan dipertimbangkan mengikut kes masing-masing dan penerimaan bantuan pembayaran balik dalam tempoh ini tidak akan mempengaruhi laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) pelanggan dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Sehingga 28 Mei 2021, UOB Malaysia telah menerima lebih 13,000 permohonan untuk bantuan pembayaran balik, dengan kadar kelulusan sebanyak 99%.

 

Pelanggan boleh menghantar permintaan mereka dengan melengkapkan borang hubungan dalam talian di laman web UOB Malaysia, menghubungi nombor pusat hubungan Bank atau membuat permohonan secara sendiri di cawangan.

 

Sepanjang tempoh PKP 3.0, UOB Malaysia juga menggalakkan pelanggan untuk terus menggunakan perkhidmatan perbankan digital, termasuk UOB Personal Internet Banking, UOB Internet Business Banking Plus dan aplikasi mudah alih UOB Mighty. - DagangNews.com