BDB, Kumpulan Seterra bangunkan perkhidmatan penjagaan warga emas di Langkawi | DagangNews Skip to main content

BDB, Kumpulan Seterra bangunkan perkhidmatan penjagaan warga emas di Langkawi

Gambar hiasan dari laman web rasmi Kumpulan Seterra
Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pemaju hartanah Bina Darulaman Bhd (BDB) memulakan usaha niaga baharu dengan kerjasama Kumpulan Seterra bagi memenuhi permintaan perkhidmatan penjagaan warga emas yang semakin meningkat di Malaysia.

 

Pengarah Eksekutif BDB, Raja Shahreen Raja Othman, berkata inisiatif Aman Seterra Sanctuary itu akan dilancarkan dalam masa dua tahun akan datang di Kuala Temoyong, Langkawi.

 

Beliau berkata, BDB sebelum ini telah meneroka peluang dalam sektor hospitaliti seperti hotel dan resort di Langkawi.

 

“Bagaimanapun, kami sedar rakan kongsi kami iaitu kumpulan Seterra lebih menumpukan kepada perkhidmatan penjagaan warga emas.

"Selepas penilaian semula, kami memutuskan untuk mengalihkan tumpuan kami serta mempertimbangkan sama ada Langkawi boleh menawarkan sesuatu yang lebih sejajar dengan konsep penjagaan warga emas," katanya.

 

Raja Shahreen berkata, demografik Langkawi terdiri daripada jumlah warga asing dari Eropah, Timur Tengah, Rusia, Jepun dan negara lain yang menetap di situ kerana mereka lebih suka iklim Malaysia.

 

"Bagi pasaran antarabangsa, kami memberi tumpuan kepada pasaran Jepun dan Eropah kerana mereka cenderung untuk hidup lebih lama dan mempunyai bajet untuk berbelanja. 

 

“Walau bagaimanapun, sasaran pasaran kami secara keseluruhannya merangkumi pelanggan tempatan dan antarabangsa," katanya.

 

Beliau berkata BDB akan melancarkan inisiatif itu di atas tanah seluas 5.26 hektar berhampiran dengan pangkalan tentera laut di Langkawi.

 

Raja Shahreen turut berkata, jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, pelancaran lembut projek itu dijangka berlangsung pada Mei 2025 semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA 2025).

 

"Kami berhasrat untuk menyediakan bukan sahaja penjagaan warga emas tetapi juga pengalaman yang disesuaikan yang sesuai dengan keutamaan pelawat jangka panjang," ujar Raja Shahreen.

 

Mengenai pelaburan, beliau berkata, BDB mempunyai aset tanah yang besar di Langkawi dan bercadang untuk membangunkan hartanah itu dengan lebih lanjut.

 

Beliau juga berharap BDB dapat bekerjasama dengan pelbagai agensi dan rakan kongsi pada masa hadapan. 

 

“Kami ingin bekerjasama dengan penyedia insurans dalam menangani keperluan pelanggan dengan berkesan serta bagi memastikan model penjagaannya kekal komprehensif,” kata beliau. 

 

Sementara itu, Raja Shahreen turut menekankan sektor penjagaan penuaan di Malaysia sedang berkembang dengan permintaan yang semakin meningkat.

 

"Kami percaya pendekatan kami akan mengisi jurang dalam pasaran dan menyumbang secara positif kepada aliran hasil syarikat," ujarnya.- DagangNews.com