BDBMBI bangunkan projek komersial bersepadu bernilai RM817 juta di Langkawi | DagangNews Skip to main content

BDBMBI bangunkan projek komersial bersepadu bernilai RM817 juta di Langkawi

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (belakang paling kiri) dan Asri Hamidon (belakang paling kanan) menyaksikan Perjanjian Cadangan Pembangunan Langkawi Premium Outlet ditandatangani oleh Faris Najhan Hashim (depan, kiri), Nasaruddin Abdul Muttalib (depan, tengah) dan Muhamad Sobri Osman (depan, kanan).

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 Sept - BDBMBI Langkawi Ventures Sdn Bhd (BDBMBI), syarikat usahasama  di antara Bina Darulaman Berhad (BDB) dan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI)  dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bakal membangunkan  projek pembangunan komersial bersepadu di Langkawi. 

 

Ini meliputi ‘Premium Outlet’, outlet perniagaan, outlet makanan dan minuman (F&B) serta kemudahan rekreasi kepada para pelancong dan juga masyarakat setempat. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Faris Najhan Hashim berkata, projek berkenaan akan dibangunkan di kawasan seluas 40.975 ekar di Padang Matsirat  yang bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. 

 

Menurut Faris Najhan, projek tersebut dibahagikan kepada beberapa fasa dan BDBMBI  akan memfokuskan kepada pembangunan Fasa 1 dan 2 terlebih dahulu yang melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM817 juta manakala baki fasa adalah untuk pembangunan pada masa hadapan. 

 

“Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membawa syarikat tempatan ke peringkat dunia, kualiti yang dihasilkan oleh syarikat pereka fesyen di sini nanti juga telah dikenali di Malaysia serta perkhidmatan F&B turut menepati standard antarabangsa. 

 

“Selain itu, terdapat juga perkhidmatan F&B yang mempersembahkan seni budaya Melayu di dalam unit outlet perniagaan di Fasa 1 bagi menghidupkan seni budaya Melayu supaya ‘Tak Lapok Dek Zaman’ melalui makanan, penampilan kakitangan serta persembahan budaya  khas kepada pelancong tempatan dan luar negara.  

 

Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz (tiga dari kiri) bergambar bersama tetamu-tetamu kehormat iaitu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Faris Najhan Hashim (paling kiri), Pengerusi Kumpulan BDB, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi (dua dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated, Muhamad Sobri Osman (tiga dari kanan) Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Dato' Asri Hamidon (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib (paling kanan).
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz (tiga dari kiri) bergambar bersama tetamu-tetamu kehormat iaitu Faris Najhan Hashim (paling kiri), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi (dua dari kiri), Muhamad Sobri Osman (tiga dari kanan) Asri Hamidon (dua dari kanan) dan Nasaruddin Abdul Muttalib (paling kanan).

 

“Di samping itu, dianggarkan hampir 100 peluang pekerjaan akan diwujudkan sekaligus membantu merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat dan sehingga hari ini, hampir  90% usahawan di sekitar Langkawi serta Semenanjung Malaysia telah mengesahkan  penglibatan mereka dalam perniagaan di Fasa 1,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

 

Jelas beliau, keseluruhan pembangunan memfokuskan kepada konsep membeli belah yang dihiasi dengan kawasan hijau serta struktur bangunan yang melambangkan  kebudayaan ikonik Melayu. 

 

Pembangunan Fasa 1 dikenali sebagai ‘Malaysia Designer  Outlet’ di mana outlet-outlet fesyen tempatan, restoran-restoran masakan fusion berkonsepkan eksklusif atau 'fine-dining’ serta ‘coffee house’ akan mula dibangunkan pada Oktober 2021 dan siap sepenuhnya pada Julai 2022. 

 

Fasa ini juga akan melibatkan pembinaan 37 unit outlet perniagaan yang di kawasan seluas 4.07 ekar. 

 

Terdahulu, Faris Najhan menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Cadangan Pembangunan Langkawi Premium Outlet antara BDBMBI dan LADA yang disaksikan oleh  Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan  Hasil, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Pejabat Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

 

Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua dari kiri) beramah mesra bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Dato' Asri Hamidon (kanan) sambil diperhatikan oleh Pengerusi Kumpulan BDB, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi (tengah), Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated, Muhamad Sobri Osman (dua dari kanan) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Faris Najhan Hashim (kiri).
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz (dua dari kiri) beramah mesra bersama Asri Hamidon (kanan) sambil diperhatikan oleh Mohamed Sharil Tarmizi (tengah), Muhamad Sobri Osman (dua dari kanan) dan Faris Najhan Hashim (kiri).

 

Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon; Timbalan  Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Anis Rizana Mohd Zainudin; Pengerusi  Kumpulan BDB, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi; Ketua Pegawai Eksekutif LADA,  Nasaruddin Abdul Muttalib dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated, Muhamad Sobri Osman. 

 

Untuk rekod, pada 20 November 2019, LADA telah menganugerahkan surat tawaran kepada BDB bagi membangunkan pembangunan komersial bersepadu di kawasan  seluas 24.27 ekar di Padang Matsirat, Langkawi. 

 

Enam bulan kemudian iaitu pada 6 Mei 2021, BDB ditawarkan surat tawaran yang telah dikemaskini untuk membangunkan kawasan yang lebih besar iaitu seluas 40.975 ekar. 

 

Jelas Faris Najhan lagi, Fasa 2 yang juga merupakan ‘jantung’ projek tersebut akan menyaksikan pembangunan ‘Premium Outlet’ di atas kawasan seluas 29 ekar yang akan  bermula pada Januari 2022 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2024. 

 

Ujarnya, Fasa 2 tersebut akan menyaksikan penawaran kepada lebih banyak jenama antarabangsa yang premium pada harga yang kompetitif sekaligus bakal menjadi  destinasi pelancongan dan tarikan terbaru di pulau peranginan ini. 

 

“BDBMBI juga yakin pembangunan Fasa 2 akan merancakkan lagi ekonomi di Langkawi dengan menawarkan hampir 1,400 peluang pekerjaan kepada penduduk Langkawi  khususnya dan penduduk Kedah amnya sekaligus membantu mengatasi masalah  pengangguran di negeri Kedah,” katanya. - DagangNews.com