Bekas ketua jurufoto Bernama Mustaza meninggal dunia | DagangNews Skip to main content

Bekas ketua jurufoto Bernama Mustaza meninggal dunia

KUALA LUMPUR 27 Sept - Bekas Ketua Jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mustaza Mohd Yusof meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, kira-kira 5 pagi tadi akibat darah beku dalam paru-paru.

 

Anak perempuannya, Nurezzatul Aqmar Mustaza ketika dihubungi Bernama hari ini, mengesahkan perkara berkenaan.

 

"Jenazah sekarang dimandi dan dikafan di Masjid Al-Abrar Kuala Terengganu dan akan dibawa pulang ke Kampung LBJ (Felda), Bandar Enstek, Negeri Sembilan," katanya, lapor Bernama.

 

Nurezzatul Aqmar berkata berkata jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung LBJ, Negeri Sembilan pada malam ini.

 

Mustaza, 62, meninggalkan seorang balu, empat anak dan dua cucu.

 

Mustaza yang berkhidmat dengan Bernama selama 38 tahun bersara wajib pada 5 Disember 2020 dengan jawatan terakhirnya sebagai Penolong Pengurus di Bahagian Perkhidmatan Langganan, Jabatan Komersial dan mula bertugas sebagai jurufoto di agensi berita itu pada 1 November 1982.

 

Sidang editorial DagangNews.com yang mengenali arwah sebagai seorang yang peramah, turut berdukacita dan berdoa agar rohnya di tempatkan bersama kalangan orang-orang yang beriman. - DagangNews.com