Belanjawan 2021 fokus empat tema utama | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2021 fokus empat tema utama

KUALA LUMPUR 7 Julai - Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November depan akan memberi fokus kepada kepada empat tema utamanya iaitu peduli terhadap rakyat, memacu ekonomi, kehidupan mampan serta menambahbaik penyampaian perkhidmatan awam.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, tema pertama peduli rakyat merupakan matlamat utama Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang bertujuan memberi perlindungan dan memperkasa rakyat.

"Rakyat Malaysia sendiri telah menunjukkan kesungguhan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih baik dan telah membuktikannya ketika negara mengharungi tempoh sukar.

"Usaha seperti #KitaJagaKita juga telah menyaksikan rakyat negara ini sama ada tua dan muda bersepakat dan berkerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat untuk saling membantu rakyat yang memerlukan," katanya ketika menyampaikan ucapan di Invest Malaysia, hari ini.

Jelas beliau lagi, usaha tersebut merangkumi aktiviti mengumpulkan dana untuk petugas barisan hadapan hinggalah penyediaan makanan kepada masyarakat yang memerlukan.

"Semua ini menyerlahkan lagi semangat Malaysia yang bersatu walaupun datang daripada pelbagai latar belakang," ujarnya. - DagangNews.com