Belanjawan 2021 pemangkin pertumbuhan digital PKS – Microsoft Malaysia | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2021 pemangkin pertumbuhan digital PKS – Microsoft Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Nov.  – Microsoft Malaysia mengalu-alukan keutamaan kerajaan terhadap pendigitalan di bawah Belanjawan 2021 yang dilihat sebagai pemangkin untuk ekonomi negara, dengan pelbagai inisiatif dikeluarkan untuk menangani cabaran dihadapi perniagaan hari ini.

Peruntukan sehingga RM1 bilion di bawah Skim Transformasi Pendigitalan Industri merupakan dorongan yang diperlukan oleh organisasi terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta syarikat permulaan untuk mengadaptasi teknologi baharu bagi meningkatkan daya saing ketika norma baharu.

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K. Raman (gambar atas) berkata, pengenalan Skim Geran Digitalisasi PKS juga menawarkan impak transformasi terhadap syarikat-syarikat yang terlibat untuk berinovasi dengan teknologi digital.

"Apabila pendigitalan ditingkatkan, permintaan untuk pekerja yang dilengkapi dengan kemahiran digital turut melonjak. Menerusi sebuah kajian yang dijalankan Microsoft bersama-sama IDC Asia Pacific, satu daripada lima organisasi di Malaysia menunjukkan kemahiran yang disokong oleh kerajaan terutamanya program untuk menambah baik kemahiran digital dan teknologi dalam tenaga kerja, penting untuk menyiapsiagakan perniagaan tempatan pada masa hadapan.

"Oleh itu, penekanan kerajaan terhadap peningkatan kemahiran dan kemahiran semula amat dialu-alukan.

"Ini termasuk peruntukan RM1 bilion unutk menyediakan kursus profesional bagi graduan dan latihan pencari kerja, di mana merangkumi peruntukan RM100 juta untuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membantu peralihan tenaga kerja sedia ada ke arah peranan dalam bidang teknologi,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Raman, beliau percaya bahawa PKS termasuk syarikat permulaan merupakan tulang belakang ekonomi negara yang perlu merancakkan transformasi digital mereka ke arah ketahanan perniagaan.

Jelasnya, transformasi digital bukan lagi sebuah pilihan tetapi keperluan untuk perniagaan berkembang maju seterusnya membantu ekonomi melonjak semula.

“Menerusi sokongan kerajaan untuk memupuk bakat tempatan, Microsoft akan terus menawarkan sumber pembelajaran percuma menerusi LinkedIn, Microsoft dan Github di bawah inisiatif ‘Global Skilling’.

“Dengan adanya data ini, kami telah mengenal pasti haluan kerjaya yang menerima permintaan tinggi dalam ekonomi hari ini dan dijangka berkembang pada masa akan datang.

“Pada masa akan datang, kami berhasrat untuk memperkukuh kolaborasi dengan pihak kerajaan dan industri untuk memastikan lebih ramai rakyat yang menerima manfaat daripada inisiatif kemahiran kami,“ tambahnya. – DagangNews.com