Belanjawan 2023: GLC labur akan labur RM1.5 bilion dalam syarikat pemula yang inovatif | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2023: GLC labur akan labur RM1.5 bilion dalam syarikat pemula yang inovatif

KUALA LUMPUR 24 Feb - Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan melabur dalam syarikat-syarikat pemula tempatan yang inovatif dengan nilai pelaburan RM1.5 bilion.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peranan GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) amat besar sebagai nadi penggerak ekonomi negara dan pada tahun ini nilai pelaburan terkumpul GLC dianggarkan mencecah RM50 bilion.

 

"Antara tumpuan pelaburan termasuklah modal teroka dalam syarikat pemula berinovasi tinggi. 

 

"Saya sempat menemui beberapa syarikat inovatif berpertumbuhan tinggi yang antaranya berjaya tersenarai di dalam Bursa Malaysia dan menembusi pasaran antarabangsa.

 

"Bagi mencontohi kejayaan ini, GLC antaranya Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melabur dalam syarikat-syarikat pemula tempatan yang inovatif dan berpertumbuhan tinggi dengan nilai pelaburan RM1.5 bilion ringgit," katanya pada sesi pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bercadang melanjutkan potongan cukai sehingga RM1.5 juta ke atas perbelanjaan penyenaraian di Pasaran ACE dan LEAP sehingga tahun taksiran 2025.

 

"Potongan cukai cukai turut diperluas meliputi kos penyenaraian syarikat berasaskan teknologi di Pasaran Utama Bursa Malaysia," katanya.

 

Anwar berkata, syarikat GLC dan GLIC turut menyumbang kepada pelaksanaan pelbagai program untuk kesejahteraan rakyat dan negara termasuk sumbangan sosial korporat sehingga 250 juta ringgit bagi menumpukan usaha membantu golongan rakyat termiskin serta komuniti miskin bandar bagi meningkatkan mutu 
kehidupan.

 

Selain itu beliau berkata, Khazanah Nasional Berhad akan menerajui pembentukan Tabung Warisan Negara untuk menarik penyertaan swasta bagi memulihkan bangunan-bangunan warisan bersejarah. 

 

"Ia termasuk usaha pembangunan semula Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Sri Negara, dengan kerjasama syarikat ThinkCity. 

 

"Syarikat ThinkCity juga akan bekerjasama dengan DBKL untuk mengambil bahagian dalam usaha memaknakan semula kehidupan di pusat bandar melalui projek pengindahan lokasi tumpuan serta mengangkat potensi aset bersejarah dan kebudayaan," katanya.

 

Beliau berkata, sejumlah RM30 juta akan disediakan antaranya juga untuk meningkatkan daya huni perumahan awam di Kuala Lumpur.

 

Katanya, kerajaan juga akan menyalurkan peruntukan RM50 juta kepada Melaka dan Pulau Pinang untuk terus kekal memelihara tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh UNESCO. - DagangNews.com