KUALA LUMPUR 24 Feb - Kerajaan bersetuju untuk memberi diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan bermula 1 Mac ini, sehingga 20%.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan.
Malah, katanya, kerajaan juga bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah, untuk tempoh 6 bulan.
"Permohonan penangguhan ini boleh dibuat mulai 1 Mac 2023," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi akan diperuntukkan RM15.3 bilion tahun ini berbanding RM14.5 bilion pada tahun 2022.
Beliau berkata, antara peruntukan itu adalah sejumlah RM436 juta disediakan bagi membaik pulih infrastruktur dan menggantikan peralatan usang yang tidak lagi ekonomi di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
“Sejumlah RM35 juta juga tersedia sebagai dana untuk meningkatkan kesalinghubungan internet di institusi pendidikan tinggi Malaysia di bawah program Malaysia Research & Education Network (MYREN),” katanya.
Beliau berkata, Berhubung aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilihat penting, sejumlah RM428 juta disediakan untuk melaksanakan aktiviti berkenaan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Peruntukan itu antaranya termasuk tambahan RM50 juta untuk KPT mempergiat R&D berbentuk transnasional yang lebih memberi manfaat kepada penyelesaian isu komuniti dan industri.
"Selain itu, MOSTI juga disediakan RM15 juta geran R&D khusus berkenaan penghasilan vaksin negara," katanya. - DagangNews.com