KUALA LUMPUR 24 Feb - Kerajaan akan terus menyokong pemulihan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain memacu semula perniagaan itu untuk mengharungi tempoh pasca pandemik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata untuk tujuan itu, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sedia menjamin sehingga RM20 bilion pinjaman PKS dengan sektor tumpuan seperti teknologi tinggi, pertanian dan pembuatan diberi jaminan kerajaan sehingga 90%.
"Jaminan juga diperluas kepada pembiayaan oleh institusi kewangan bukan perbankan seperti syarikat pajakan kredit dan koperasi supaya dapat memberi manfaat khusus kepada penjaja kecil," katanya pada pembetangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan menyediakan hampir RM10 bilion dana pinjaman disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi meringankan beban kewangan PKS dan menyokong pengembangan perniagaan.
Selain itu, katanya, kemudahan pinjaman di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) juga akan disediakan membabitkan jumlah RM1 bilion yang akan menyokong PKS mikro dan penjaja.
"BNM menyediakan dana pinjaman sehingga RM2 bilion bagi mendukung syarikat pemula teknologi lestari dan membantu syarikat PKS menerap amalan rendah karbon.
"Tarif elektrik telah dikekalkan bagi semua pengguna domestik dan perniagaan PKS tetapi semua syarikat besar kecuali sektor makanan dan pertanian telah dinaikkan," katanya.
Perdana Menteri berkata, agensi-agensi kerajaan akan terus menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk manfaat usahawan PKS dengan nilai keseluruhan sehingga RM40 bilion
Katanya usahawan mikro dan penjaja kecil disediakan kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia, BSN dan TEKUN dengan dana yang tersedia berjumlah RM1.7 bilion.
"Antaranya, RM300 juta dikhaskan untuk menyokong perniagaan mikro oleh usahawan wanita dan belia," katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga menyediakan RM50 juta bagi membina dan menaik taraf melibat 3,000 gerai dan kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara.
Selain itu, katanya, sejumlah RM176 juta disediakan bagi menaik taraf premis dan kemudahan perniagaan antaranya di bawah MARA, DBKL, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA). - DagangNews.com