Belanjawan 2023: Kerajaan tambah caruman RM500 untuk Akaun 1 KWSP bagi pencarum berusia 40-45 yang baki kurang RM10,000 | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2023: Kerajaan tambah caruman RM500 untuk Akaun 1 KWSP bagi pencarum berusia 40-45 yang baki kurang RM10,000

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Feb - Kerajaan bersetuju menambah caruman sebanyak RM500 ke dalam simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pencarum berusia 40 hingga 54 tahun yang memiliki baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun tersebut.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif  tersebut merupakan antara usaha kerajaan membantu pencarum membina semula simpanan persaraan yang berkurangan susulan pengeluaran ketika pandemik COVID-19.

 

Program itu katanya, akan memberi manfaat kepada hampir 2 juta ahli KWSP melibatkan peruntukan hampir RM1 billion.

 

"Setelah negara dibelenggu musibah pandemik COVID-19, rakyat terpaksa beberapa kali mengorbankan simpanan hari tua mereka bagi menampung keperluan hidup ketika pandemik.

 

"Kini setelah rakyat beransur-ansur bangkit untuk membina semula kehidupan, kebanyakan rakyat menggunakan pendapatan yang diterima bagi menyara kehidupan, sementara simpanan hari tua masih rendah.

 

"Pada masa yang sama, kerajaan berharap rakyat yang mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi akan terus menyumbang supaya semua lapisan pencarum mendapat manfaat," katanya pada sesi pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Sementara itu, Anwar berkata, bagi menggalakkan lebih ramai orang bekerja sendiri menyimpan dalam KWSP, kerajaan meningkatkan nilai sumbangan padanan iSaraan kepada RM300 berbanding RM250 sebelum ini dan RM30 juta disediakan untuk manfaat lebih 100,000 pencarum.

 

Dalam pada itu, kerajaan menyokong peningkatan pegangan ekuiti dalam kalangan Bumiputera dengan had pelaburan individu Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) akan ditingkatkan kepada RM300,000 berbanding RM200,000 sebelum ini. 

 

"Pentadbiran ini juga bersetuju untuk meningkatkan saiz dana Amanah Saham Malaysia (ASM) sebanyak RM5 bilion," katanya. - DagangNews.com