Belanjawan 2023: Malacca Securities positif terhadap sektor pengguna dan kesihatan | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2023: Malacca Securities positif terhadap sektor pengguna dan kesihatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Feb - Malacca Securities menjangkakan beberapa sektor termasuk pengguna, pembinaan, kesihatan, telekomunikasi dan automotif akan terus positif didorong peruntukan besar yang diumumkan di dalam Belanjawan 2023, baru-baru ini.

 

Firma itu berkata, sektor pengguna akan terus berkembang didorong pemulihan ekonomi dan pasaran tenaga kerja.

 

Katanya, menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), RM8 bilion akan disalurkan kepada ekonomi negara selain itu kerajaan juga mengurangkan kadar cukai individu sebanyak 2% dan jangkaan RM900 juta akan memberi manfaat kepada golongan M40.

 

"Kami percaya bantuan tunai B40 bersama pengurangan cukai untuk golongan M40 akan memberi manfaat.

 

"Kredit e-dompet berjumlah RM400.0 juta untuk 2 juta belia akan memacu persekitaran e-dagang dan menggalakkan pembayaran digital, manakala peningkatan peruntukan dalam Rancangan Makanan Tambahan dan Program Makanan Prasekolah akan meningkatkan permintaan untuk produk bahan makanan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, peruntukan yang disediakan menerusi Belanjawan 2023 akan mempercepatkan pemulihan dalam sektor pembinaan pada 2023 dan ia akan disokong oleh projek infrastruktur mega terutama pada separuh kedua 2023.

 

"Selain projek-projek tebatan banjir, kami mendapati bahawa terdapat lebih penekanan diberikan kepada pembinaan jalan baharu dan menaik taraf jalan sedia ada dalam usaha untuk menambah baik kesalinghubungan, terutamanya ke tempat-tempat pelancongan," katanya.

 

Firma itu juga positif terhadap sektor penjagaan kesihatan terutama selepas menerima peruntukan RM36.5 bilion (berbanding RM32.4 bilion dalam Bajet 2022) bagi mengukuhkan kapasiti penjagaan kesihatan awam yang merangkumi perolehan ubat-ubatan, reagen, vaksin dan bahan guna guna dan RM3 bilion akan diperuntukkan untuk latihan baharu kepada lebih 1,500 pegawai perubatan, doktor gigi dan ahli farmasi.

 

Katanya, kenaikan pelepasan cukai perbelanjaan perubatan daripada RM8,000 kepada RM10,000 dan meluaskan skop penyakit termasuk Autisme, Sindrom Down dan Masalah Pembelajaran Khusus yang dihadkan kepada RM4,000.

 

Firma itu juga positif terhadap sektor telekomunikasi dan media, menuju ke peralihan 5G yang berada di landasan yang betul untuk menyasarkan liputan penuh di kawasan kediaman dan 9 juta premis perniagaan di seluruh Malaysia menjelang 2025.

 

Katanya, perkhidmatan 5G boleh mencapai 80% daripada kawasan berpenduduk pada akhir 2023 dan Fasa 2 JENDELA akan bermula pada separuh pertama 2023 dan mungkin mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan untuk melengkapkan ketersambungan bagi baki 3.1% penduduk

 

"Kami juga positif terhadap sektor automotif dan pada masa sam percaya bahawa lanjutan pengecualian duti import dan eksais akan mendorong permintaan dan penerimaan kenderaan elektrik (EV)

 

"Pelaburan dalam peralatan pengecasan EV akan melengkapkan lagi ekosistem EV dan sektor automotif akan meningkatkan pertumbuhan EV pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com