Belanjawan 2023: Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 akan diumum pada suku ketiga 2023 | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2023: Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 akan diumum pada suku ketiga 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Feb - Kerajaan akan merangka Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030  yang akan diumumkan pada suku ketiga 2023 untuk melakar hala tuju pembangunan perindustrian yang bertumpukan aktiviti berkualiti tinggi dan pengambilan bakat tempatan. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selari dengan pelan itu, agensi promosi pelaburan dan insentif pelaburan akan distruktur semula ke arah kadar cukai berperingkat berasaskan hasil seperti mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, mendalami rantaian bekalan dengan firma tempatan dan mewujudkan kelompok industri baharu. 

 

Beliau berkata, pemantauan pelaburan yang menerima insentif juga akan diperkasa untuk memastikan manfaat yang diharapkan dapat diperolehi sepenuhnya oleh negara dan rakyat.

 

"Antara isu utama pelabur asing ialah kurangnya bakat tempatan yang membolehkan mereka melabur dan beroperasi di Malaysia. 

 

"Sedangkan pada masa sama, kita memberi biasiswa kepada lebih seribu pelajar setiap tahun untuk bidang kejuruteraan di Jepun, Korea, Perancis dan Jerman,"

 

"Bagi menangani isu itu, kerajaan akan menyelaras kerjasama antarabangsa dengan syarikat multinasional asing untuk menyediakan peluang perantisan di negara pemegang  biasiswa menuntut. Pelajar ini juga dibenarkan untuk menyempurnakan bon perkhidmatan mereka dengan syarikat tersebut,"  katanya semasa sesi pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini. 

 

belanjawan

 

Perdana Menteri berkata, bagi merancakkan pelaburan sektor berteknologi dan berimpak tinggi, selaras Dasar Pelaburan Baharu, Invest Malaysia Council dan Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI) akan menerajui usaha mempercepat kelulusan projek-projek pelaburan berpotensi tinggi. 

 

Sementara PEMUDAH akan diperkasa sebagai unit pemudah cara iklim pelaburan dan persekitaran perniagaan. 

 

Beliau berkata, kerajaan akan menambah baik prosedur menjalankan perniagaan bagi mengurangkan birokrasi termasuk memberikan insentif  kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang memudah cara pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan bagi memastikan usaha pelaburan dapat dipercepat.

 

"Kajian Bank Negara menunjukkan, manfaat pelaburan langsung asing (FDI) dilihat semakin mengecil ekoran ketersediaan insentif yang tinggi dan pelaburan bernilai tambah rendah. 

 

"Malaysia mempunyai lebih 100 jenis insentif dan lebih 30 agensi promosi pelaburan (IPA). Dengan pola perubahan global susulan perkembangan teknologi dan perubahan iklim, evolusi insentif di Malaysia diperlukan untuk menyokong kegiatan ekonomi," katanya. - DagangNews.com