KUALA LUMPUR 31 Mei - Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memperincikan senarai penuh aktiviti-aktiviti yang dibenarkan termasuk di bawah sub-sektor pengangkutan dan logistik kepada pihak berkepentingan.
KENDERAAN PERSENDIRIAN
● Hanya dua (2) orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki sebuah kenderaan persendirian dalam satu masa tanpa mengira kapasiti.
● Namun, tiga (3) orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki sebuah kenderaan persendirian dalam satu masa bagi tujuan perubatan (seperti janji temu hospital berserta surat pengesahan doktor atau vaksinasi yang disahkan melalui aplikasi MySejahtera) atau bagi tujuan kecemasan.
TEKSI DAN KENDERAAN E-HAILING
● Hanya dua (2) orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki sebuah teksi atau kenderaan e-hailing dalam satu masa tanpa mengira kapasiti. Penumpang hendaklah duduk di tempat duduk belakang.
● Tiga (3) orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki sebuah teksi atau kenderaan e-hailing dalam satu masa bagi tujuan perubatan (seperti janji temu hospital berserta surat pengesahan doktor atau vaksinasi yang disahkan melalui aplikasi MySejahtera) atau bagi tujuan kecemasan.
PENGANGKUTAN AWAM
● Semua pengendali pengangkutan awam darat dan laut dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penumpang 50%. Syarikat penerbangan dikecualikan berikutan peratusan penumpang yang sedia ada adalah rendah.
● Semua pengendali dibenarkan untuk menentukan frekuensi atau kekerapan perkhidmatan masing-masing secara optimum untuk mengelakkan kesesakan di terminal, platform dan stesen-stesen, serta memastikan SOP yang ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi sepenuhnya.
LOGISTIK
● Syarikat logistik, lapangan terbang dan pelabuhan (lihat di bawah untuk senarai penuh) dibenarkan beroperasi pada tahap optimum. Walau bagaimanapun, pengendali mestilah memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap SOP yang ditetapkan MKN dan KKM.
● Syarikat logistik adalah merujuk kepada syarikat yang berkaitan dengan pengangkutan darat, laut, dan udara serta pengendalian barangan termasuk perniagaan e-dagang.
SISTEM SMILE (Sistem Maklumat Industri Logistik)
● MOT akan mengeluarkan surat kelulusan baharu untuk membolehkan syarikat-syarikat yang berdaftar di bawah SMILE dapat beroperasi pada Fasa Pertama sekatan pergerakan atau ‘lockdown’ ini.
● Semua surat yang dikeluarkan di bawah SMILE sebelum ini adalah terbatal dan tidak sah. Surat kelulusan baharu kini boleh dimuat turun. Sila rujuk https://application.mot.gov.my/ untuk maklumat lebih lanjut.
Seperti biasa, MOT menggesa para kakitangan dan seluruh rakyat Malaysia yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam supaya mematuhi SOP di semua stesen dan terminal termasuklah menggunakan cecair pembasmi kuman, memakai pelitup separuh muka, mengamalkan penjarakan sosial dan mengimbas kod QR MySejahtera jika diperlukan. - DagangNews.com