Berikut senarai 18 sektor pembuatan/ perkhidmatan yang boleh beroperasi semasa PKP | DagangNews Skip to main content

Berikut senarai 18 sektor pembuatan/ perkhidmatan yang boleh beroperasi semasa PKP

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan 18 sektor pembuatan dan perkhidmatannya yang berkaitan (MRS) yang dibenarkan untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun ini.

 

Dalam kenyataannya, MITI berkata sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60% pekerja adalah:

  • aeroangkasa (komponen serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih - MRO);

  • makanan dan minuman;

  • bahan pembungkusan dan percetakan serta barang-barang penjagaan diri dan bahan pencuci.

  • keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet;

  • peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan getah dan peralatan keselamatan kebakaran;

  • komponen bagi peranti perubatan;

  • elektrikal dan elektronik serta minyak dan gas termasuk petrokimia dan produk petrokimia juga mendapat kebenaran yang sama.

  • produk kimia; mesin dan peralatan;

  • tekstil untuk pengeluaran PPE sahaja;

  •  pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api dan pelincir.

Sementara itu, 5 lagi sektor dibenarkan beroperasi di bawah siap siaga dengan 10% pekerja iaitu

  1. automotif (kenderaan dan komponen);

  2. besi dan keluli,

  3. simen;

  4. gelas

  5. seramik

 

MITI

 

 

Menurut kementerian, sektor-sektor berkenaan dibenarkan beroperasi dengan syarat mendapat surat kelulusan MITI yang boleh dimuat turun daripada portal COVID19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

 

Syarikat pembuatan yang sedia ada berdaftar dengan CIMS 3.0 boleh memuat turun surat kelulusan MITI yang baharu dan mengemas kini senarai pekerja mereka sekiranya perlu, berkuat kuasa 8 malam ini (Ahad, 30 Mei).

 

Syarikat pembuatan yang masih belum mendaftar, boleh berbuat demikian bermula 1 tengah hari pada Isnin, 31 Mei 2021.

 

“Sektor pembuatan dan MRS yang dibenarkan beroperasi akan memastikan gangguan minimum kepada rantaian bekalan komponen dan produk siap kritikal.

 

“Ini adalah penting bagi menjamin kelangsungan operasi infrastruktur kritikal seperti keselamatan, kesihatan awam dan sistem informasi dan telekomunikasi serta memastikan bekalan keperluan asas mencukupi untuk rakyat,” kata MITI.

 

Selain itu, MITI berkata pekerja dalam sektor pembuatan dan MRS memerlukan surat kelulusan kementerian itu, surat pengesahan lantikan daripada majikan atau kad pekerja untuk pergerakan ke tempat kerja. 

 

“Mereka yang dibenarkan beroperasi wajib memastikan pematuhan ketat ke atas prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MITI. Kegagalan mematuhi SOP adalah satu kesalahan dan boleh mengakibatkan kompaun dan/atau penutupan premis,” katanya.

 

Bagi memastikan pematuhan SOP yang berkesan, langkah penguatkuasaan yang komprehensif dan ketat akan dilakukan oleh agensi penguatkuasaan persekutuan dan negeri.

 

Sementara itu, bagi sektor selain pembuatan dan MRS, MITI berkata, syarikat diminta merujuk kepada kementerian yang mengawal selia sektor masing-masing atau MKN.

 

“Perlu ditegaskan bahawa MITI hanya boleh memberi kelulusan beroperasi kepada sektor perkilangan dan MRS,” katanya. - DagangNews.com