Berjaya Food catat kerugian bersih RM23.8j pada 4QFY20 | DagangNews Skip to main content

Berjaya Food catat kerugian bersih RM23.8j pada 4QFY20

Berjaya Food Berhad

 

Oleh MUHAMMAD ARIF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Berjaya Food Berhad mencatatkan kerugian bersih syarikatnya sebanyak RM23.8 juta pada suku keempat bagi tahun kewangan 2020.

CGS-CIMB dalam nota kajiannya (CGS-CIMB Research) berkata, jumlah kerugian tersebut meningkat berbanding kerugian RM1.6 juta pada suku ketiga bagi tahun kewangan yang sama.

"Kerugian ini disebabkan oleh kekurangan pengunjung di restoren Starbucks dan Kenny Rogers's Roasters (KRR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Perkara itu memberi kesan ketara pada suku keempat 2020," jelas CGS-CIMB Research.

Jelas kajian itu lagi, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah mula dilaksanakan pada 12 Mei lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu dijangka akan membantu pemulihan secara beransur-ansur.

Namun, pemulihan tersebut dilihat masih tidak mampu untuk menampung prestasi jualan yang lemah kerana didorong oleh sentimen pengguna yang masih berjaga-jaga terhadap wabak.

Tambah CGS-CIMB Research, prestasi kerugian tersebut adalah lebih rendah daripada jangkaan pihaknya.

CGS-CIMB Research sebelum ini meramalkan Berjaya Food akan kekal berada dalam prestasi stabil pada tahun kewangan 2020.

Berjaya Food akan meneruskan pengoperasian restoren Starbuck dan KRR di Malaysia serta restoren Jollibean di Singapura.

CGS-CIMB Research turut menjangkakan Berjaya Food akan lebih berhati-hati dalam proses pembukaan restoren baharu berbanding dengan perancangan terdahulu iaitu 25 hingga 30 restoren Starbucks dan tujuh hingga 10 restoren KKR dalam masa setahun. - DagangNews.com