KUALA LUMPUR 11 Nov - Pelabur asing terus menjual ekuiti tempatan di Bursa Malaysia pada minggu ketiga berturut-turut dengan aliran yang lebih kecil sebanyak RM392 juta.
MIDF Research berkata, pelabur asing menjadi penjual bersih pada setiap hari dagangan kecuali Isnin dan Rabu dengan aliran keluar tertinggi berlaku pada Khamis sebanyak RM368.3 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, aliran keluar pada hari-hari lain mencecah antara RM108.9 juta sehingga RM169.1 juta.
"Sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah perladangan (RM130.2 juta), pembinaan (RM71.3 juta) dan produk & perkhidmatan perindustrian(RM48.7 juta).
"Institusi tempatan mencatatkan jualan bersih hanya pada hari Isnin, dengan belian bersih RM79.9 juta dalam ekuiti minggu lepas.
"Peruncit tempatan menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia pada minggu lepas dengan menjual RM170 juta dalam ekuiti selepas menjadi pembeli pada minggu sebelumnya," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Katanya, peruncit tempatan dan institusi tempatan menunjukkan peningkatan dalam purata volum dagangan
harian (ADTV) merentas semua kelas pelabur kecuali pelabur asing yang mencatatkan penurunan 10.2%.
Sementara itu, peruncit tempatan mengalami keuntungan tertinggi pada 24.9%, manakala institusi tempatan mencatatkan peningkatan sebanyak 11.4%.- DagangNews.com