Bermula kecil, Muhammad Azamuddin kini jadi usahawan popcorn  | DagangNews Skip to main content

Bermula kecil, Muhammad Azamuddin kini jadi usahawan popcorn 

Muhammad Azamuddin Kahar menunjukkan popcorn Flavyo Premium Popcorn yang diusahakan di kilang kecilnya yang terletak di Bandar Lahat Baru dekat Ipoh, Perak. - Gambar DagangNews.com
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 14 Julai - Walaupun kelulusan sebagai jurutera membolehkan dia mendapatkan pekerjaan bersesuaian, namun Muhammad Azamuddin Kahar, 30, kini selesa menjadi usahawan popcorn.

 

Semuanya bermula dengan niat untuk mencari wang tambahan apabila dia memilih menjual snek tersebut di pejabat dan rakan terdekat empat tahun lalu.

 

Ketika itu kerja-kerja memasak popcorn dilakukan di dapur rumah sehingga ada masanya dia tidak tidur malam hendak menyiapkan tempahan.

 

Flavyo Premium Popcorn adalah jenama popcorn karamel yang dia usahakan di kilang kecilnya yang terletak di Bandar Lahat Baru di sini.

 

Menerusi kaedah pemasaran menggunakan media sosial termasuk reviu daripada pengendali laman-laman Facebook setempat, kini Flavyo Premium Popcorn antara jenama yang dikenali di Ipoh.

 

Menurut anak kelahiran Batu Berendam, Melaka ini, dia memulakan perniagaan itu bermodalkan wang simpanan yang ada cuma RM500.

 

 

popcorn
Sebahagian daripada bertih jagung atau popcorn berjenama Flavyo yang mendapat permintaan tinggi pelanggan.

 

 

"Bulan demi bulan jualan popcorn semakin meningkat menyebabkan saya tidak menang tangan lalu memutuskan untuk berhenti kerja.

 

"Selain jualan terus dan menjadi pembekal kepada penjaja, saya turut menerima banyak tempahan bagi majlis perkahwinan dan keraian lalu menggajikan pekerja.

 

"Bermula Mac 2020 saya membesarkan lagi perniagaan apabila membeli mesin tambahan dan menyewa sebuah stor," ujarnya kepada DagangNews.com.


 

popcorn
Para petugas sedang menyediakan popcorn dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 150kg sehari.

 


Pada masa itu dia juga telah menjadi pembekal kepada banyak usahawan kecil yang menjual popcorn di Ipoh termasuk diletakkan di kedai-kedai makan.

 

"Sedang rancak berniaga, keadaan pandemik bertukar sebaliknya apabila banyak tempahan perkahwinan dibatalkan selain tidak boleh membuat jualan luar.

 

"Saya terpaksa mengecilkan operasi dengan empat pekerja berbanding lapan, malah menjual dua daripada lima mesin memasak yang ada.

 

"Rezeki niaga mula kembali melalui jualan secara dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu apabila permintaan berganda," ujarnya.

 

Muhammad Azamuddin berkata, setiap hari dia menghasilkan kira-kira 150 kilogram (kg) popcorn termasuk bagi dibekalkan kepada lebih 30 vendor selain puluhan penjaja kecil.

 

Bermula dengan dua jenis (flavour) iaitu Caramel dan Dark Chocolate, kini dia mempunyai 11 jenis popcorn dengan tambahan Royal Caramel, Blueberry, Strawberry, Vanilla, Peppermint, Coffee, Durian dan keladi.

 

 

popcorn
Bermula secara kecil-kecilan, Flavyo Premium Popcorn kini dibekalkan kepada lebih 30 vendor selain puluhan penjaja kecil di sekitar Ipoh.

 

 

"Bagi jualan borong, kita menjual mengikut pek satu kg hingga 50kg.

 

"Tahun lepas kita mencatatkan jualan kira-kira RM500,000 dan tahun ini kita sasarkan pertambahan.

 

"Mereka yang berminat dipelawa untuk menjadi pengedar tanpa modal yang besar dan boleh melayari laman Facebook Flavyo, untuk maklumat lanjut," ujarnya. - DagangNews.com