Binance masih terus beroperasi secara haram di Malaysia walaupun telah dimasukkan dalam Senarai Peringatan Pelabur SC pada Julai 2020. - Gambar Reuters
KUALA LUMPUR 30 Julai - Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap Binance kerana mengendalikan bursa aset digital (DAX) secara haram.
Menurut SC, di bawah seksyen 7(1) dan 34(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, semua pengendali DAX mestilah didaftarkan dengan SC sebagai Pengendali Pasaran yang Diiktiraf (RMO).
Oleh itu, katanya, SC telah mengeluarkan satu celaan awam terhadap Binance kerana terus beroperasi secara haram di Malaysia walaupun telah dimasukkan dalam Senarai Peringatan Pelabur SC pada Julai 2020.
"Sehubungan ini, celaan awam telah dikeluarkan terhadap Binance Holdings Limited (Didaftarkan di Kepulauan Cayman) dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zhao Changpeng.
"Ia juga termasuk 3 entiti Binance yang lain, iaitu Binance Digital Limited (Didaftarkan di UK), Binance UAB (Didaftarkan di Lithuania) dan Binance Asia Services Pte Ltd (Didaftarkan di Singapura)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Keempat-empat entiti Binance telah diperintahkan oleh SC untuk menyahupayakan laman web Binance (www.binance.com) dan aplikasi mudah alih di Malaysia dalam tempoh 14 hari bekerja mulai 26 Julai 2021.
"Mereka juga perlu segera menghentikan semua aktiviti media dan pemasaran termasuk mengedarkan,
menerbitkan atau menghantar iklan dan bahan pemasaran lain, sama ada melalui e-mel atau sebagainya, kepada pelabur Malaysia dan bertindak segera menghalang pelabur Malaysia daripada mengakses kumpulan Telegram Binance," jelasnya.
Zhao, selaku CEO Binance Holdings Limited, juga telah diperintahkan secara khusus untuk memastikan bahawa arahan di atas dilaksanakan.
SC turut mengingatkan pelabur supaya berhenti berurusan dan melabur melalui DAX yang tidak sah.
"Mereka yang kini mempunyai akaun dengan Binance amat digesa agar segera menghentikan dagangan melalui platformnya dan menarik balik semua pelaburan mereka.
"Orang ramai diingatkan untuk memaklumkan kepada SC jika mereka mendapati laman web yang mencurigakan atau menerima panggilan telefon atau e-mel tanpa diminta yang menawarkan nasihat dan peluang pelaburan, terutama yang mendakwa mereka menawarkan pulangan tinggi dengan sedikit atau tanpa risiko," katanya. - DagangNews.com