Bersara tetapi tetap menyumbang hingga ke akhir hayat | DagangNews Skip to main content

Bersara tetapi tetap menyumbang hingga ke akhir hayat

Semakin pasif seseorang semakin cepat nyanyuk dan menjadi pelupa.
Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

KERAJAAN diminta untuk mempertimbangkan dasar baharu iaitu melanjutkan usia persaraan kepada usia 65 tahun seperti disyorkan Bank Dunia. Ini sudah berlaku di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menetapkan umur persaraan 65 tahun sejak 2010.

 

Dengan kebenaran mengeluarkan KWSP pada kali keempat oleh kerajaan tanpa merancang penyelesaian awal adalah tidak bertanggungjawab dan bersifat populis semata-mata.

 

Kerajaan perlu menggalakkan industri pekerjaan swasta dan awam mewujudkan perjawatan kerja sambilan.

 

Tujuan merancang untuk persaraan sebenarnya adalah untuk membuat pelan simpanan supaya dapat mengumpul dana yang mencukupi apabila bersara.

 

Dengan tiga pertanyaan:

  1. Berapa banyak simpanan yang cukup?
  2. Berapa lama dana boleh bertahan?
  3. Adakah simpanan dapat mengatasi inflasi?

 

Perkiraan persaraan terpulang kepada individu, berapa banyak perlu menyimpan setiap bulan, sekarang perlu tahu pula daya tahan dana persaraan. Kos barangan dan perkhidmatan akan meningkat setiap tahun disebabkan inflasi.

 

Menurut kajian daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, purata jangka hayat rakyat Malaysia sekarang adalah 75 tahun, dengan lelaki dijangka hidup sehingga usia 73 tahun manakala wanita dijangka hidup sehingga umur 78 tahun.

 

Statistik ini dijangka meningkat dan mungkin akan mencecah angka 80 tahun tidak lama lagi.

 

Sekarang, had umur persaraan  60 tahun bererti perlu mempunyai pendapatan gantian yang cukup untuk bertahan sekurang-kurangnya selama 20 tahun.

 

Dengan jangka hayat yang diramalkan semakin meningkat, sebahagian besar sudah mula berasa bimbang akan menjadi beban kepada keluarga, sanak saudara dan sahabat handai pada satu masa kelak dan tidak tahu penerimaan.

 

 

fudzail
Selagi masih ada kudrat, nikmati usia persaraan secara aktif.

 


Perasaan bimbang kerana belum sempat atau kurang upaya untuk membuat persiapan secukupnya. Menyebabkan pesara berasa tertekan mengenangkan masa depan kerana taraf hidup yang tidak menentu di masa mendatang.

 

Ramai mengeluh apabila istilah persaraan disebut.  Apalagi ramai daripada warga muda  sudah percaya yang persaraan itu adalah satu impian yang mustahil dicapai dan digenggam.

 

Seringkali warga emas yang masih bekerja untuk memenuhi keperluan seharian akibat kos sara hidup yang semakin meningkat dengan membawa kenderaan Grab, di mana pemandunya seorang bekas jurutera atau bekas korporat yang dulunya memegang jawatan atasan.

 

Itu sudah mula menjadi kebiasaan kerana memilih tugas sambilan atau tugas persaraan kerana yakin yang mampu menceburkan diri sebagai sumber mata pencarian.

 

Dengan usia yang semakin lanjut dan kelayakan yang tidak setanding dengan pesaing-pesaing lebih muda dan percaya lebih berkebolehan namun lebih murah untuk digajikan.

 

Selalunya persaraan dapat dibayangkan seorang yang meluangkan masa dengan cucu-cicit dan kehidupan sehari-hari melibatkan aktiviti-aktiviti yang pasif dengan tinggal melepak di rumah.

 

Sering dianggap pesara itu sudah lapuk dek hujan dan lekang dek panas yang sudah tidak mempunyai nilai untuk disumbangkan kepada masyarakat.

 

Datang masalahnya bila dulunya amat aktif bekerja dan sentiasa menyumbangkan tenaga. Apalagi daya pemikiran tetapi perubahan yang mendadak untuk menjalani gaya hidup pasif mula merasa kesan yang negatif terhadap kesihatan fizikal dan mental.

 

Mula berasa kehilangan tujuan dan meragui harga diri dengan memerlukan bantuan duit setiap bulan dari anak-anak untuk menyara hidup setelah bersara.

 

 

fudzail
Amalan membaca membantu mengekalkan ketajaman minda.

 

 

Kerana kerunsingan, keresahan dan kebimbangan untuk menghadapi hari tua yang menyebabkan mudah menderita dalam diam keseorangan.

 

Ada masih bersama duduk dengan anak cucu dengan perasaan tertekan jika tidak ditangani boleh menjejaskan perhubungan dengan ahli keluarga. Malang ada pula yang mengambil keputusan yang amat dikesali untuk bunuh diri kerana kesepian.

 

Persiapan untuk persaraan mesti dimulakan sejak hari pertama bekerja kerana itu sebabnya kerajaan mewajibkan caruman kepada KWSP kalau tidak pencen dengan bekerja kerajaan.

 

Perancangan awal  mendatangkan kesan positif termasuk membuat keputusan untuk menentukan keperluan yang asas bagi memenuhi keperluan seharian. Namun keinginan lumayan boleh ditangguh dan dielakkan sama sekali demi risiko.

 

Pentingnya merangkul minda yang positif untuk mengatasi segala rasa bimbang dan curiga. Berfikiran negatif boleh menyempitkan pemikiran dan dengan secara langsung menghadkan perspektif terhadap pilihan-pilihan yang boleh diteroka.

 

Isu-isu yang sering dikaitkan dengan persaraan termasuk hal kewangan, kesihatan, kesejahteraan dan keperluan untuk merasa berupaya menyumbang sesuatu yang boleh dibanggakan.

 

Mempunyai minda positif terhadap persaraan dengan bersedia untuk merombak dan mentafsirkan semula definisi persaraan kepada satu perkara yang lebih dinamik dan yang akan memanfaatkan kepada masyarakat.

 

Persaraan bukanlah satu penyeksaan dan satu perkara yang perlu dikhuatiri dan dibimbang di mana satu peringkat kehidupan. Dengan pengalaman yang amat luas dan mendalam yang telah diperoleh, boleh dijadikan sebagai satu inspirasi buat diteladani dan diikuti oleh warga muda.

 

 

fudzail

 

 

Usah merasakan cukup cukuplah dan mahu mulakan rutin harian untuk hanya beribadah, ini satu keputusan yang salah. Ternyata banyak peluang untuk mendapatkan keredaan Allah selepas bersara seperti mana Rasullullah.

 

Dari konsep persaraan menurut Rasulullah  sudah terpahat sebuah pemikiran untuk hidup tenang di hari tua. Dengan duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa menghabiskan usia dan hanya bermain dengan cucu-cicit.

 

Dapat bertemu sahabat semasa reunion serta jalan-jalan ke sana ke mari atau melawat luar negara.

 

Ramai hanya berfikir untuk menghabiskan hari tua kerana zon selesa. Hanya dengan solat dan membaca Quran dari waktu ke waktu, tanpa kegiatan lain dengan pergi ke masjid.

 

Sudah menjadi pola pemikiran dan fenomena yang terjadi di sekitar dan di sekeliling.

 

Sebelum memasuki usia persaraan pun selalu merasa bukan masanya untuk aktif di mana akhirnya kehilangan ghairah untuk terus menyumbang dan mungkin juga kehilangan arah dalam kehidupan.

 

Timbul desakan untuk hidup tenang dengan hanya ingin bersenang-senang dan tidak ingin bergerak di zon selesa. Lebih cenderung memikirkan diri sendiri dan makin tidak peduli dengan kalangan rakan dan masyarakat sekitar yang terus memerlukan pengajaran untuk dinasihati.

 

 

fudzail

 

 

Ramai bersetuju sudah masanya untuk berehat dan melupakan masa lalu.  Sebenarnya dalam Islam mendidik pola berfikir untuk terus aktif dan terlibat dalam masyarakat.

 

Dalam Al-Quran Surah Al-Insyirah (94), ayat 7 dan 8. "Maka apabila engkau sudah selesai mengerjakan satu urusan, maka kerjakanlah dengan sungguh-sungguh urusan yang lain." (94:7).

 

"Dan kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap." (94:8)

 

Kitab Sirah Nabawiyah yang mengatakan Rasulullah memulai hidup baru di usia 40 begitu juga sahabat-sahabat baginda. Pada usia itu, Rasulullah dan para sahabat memasuki perjuangan baru, meninggalkan zon selesa dengan semua harta diinfaqkan.

 

Martabat manusia di perjuangkan dengan makin aktif dan dinamis. Semakin bergerak membina hubungan dengan sesama manusia dan membangun masyarakat madani  di Madinah.

 

Komunikasi tidak hanya hubungan dengan Allah tetapi interaksi hubungan sesama manusia dan makin terlibat dalam kehidupan sosial. Boleh dilihat memasuki usia persaraan bukan alasan untuk melepaskan diri dari kehidupan sosial dan hanya sibuk dengan diri sendiri sahaja.

 

Rasulullah tidak pernah diam dan tidak juga ingin beristirahat sehingga akhir di mana Baginda tidak meninggal dalam keadaan kaya, tidak juga dalam keadaan bersara kerana tetap memimpin umatnya. Persaraan Baginda adalah nafas terakhir.

 

Para sahabat-sahabat mendapat gratuiti setelah syahid. Abu Bakar As-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Usman bin Affan, Ali bin Abi Thalib, misalnya. Malahan Abu Ayyub al-Anshari berangkat  berperang menghadapi Byzantium pada usia 93 tahun.

 

Dari konsep persaraan yang difahami secara umum oleh masyarakat membuat ramai terlupa dengan bertambah usia, kesempatan hidup makin berkurang dan terhad.

 

Menurut hadis adalah “Manusia terbaik di antara mu adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain” adalah konsep manusia berjaya dalam Islam.

 

 

fudzail

 

 

Bertambah umur makin menambah dunia dengan menjadi sosok bermanfaat dan berfaedah. Jangan berfikir untuk hidup santai, rileks dan sekadar menghabiskan waktu dengan hal-hal tidak jelas serta tanpa tujuan. Semakin pasif seseorang semakin cepat nyanyuk dan menjadi pelupa.

 

Dengan mempersiapkan untuk hari tua, selain menyiapkan simpanan agar tidak berkekurangan untuk menyiapkan apa yang boleh dilakukan supaya bermanfaat pada hari tua. Bila tiba saatnya untuk menutup mata maka tiada kata terlambat untuk memulai hidup baru dan menyegarkan walau OKU.

 

Di hari tua bukan alasan untuk putus asa dan berhenti dari kebiasaan. Merasa sudah tua dan berfikir bukan waktunya untuk hidup aktif dan dinamis adalah bukan pilihan yang tepat dan betul.

 

Harus hidup terus bersemangat dalam mendepani masa yang ada untuk kebaikan bersama dengan sumbangan yang termampu seperti Rasulullah sehingga akhir hayat. - DagangNews.com