KUALA LUMPUR 3 Mac - Bertam Alliance Berhad menerusi anak syarikatnya, Bertam Development Sdn. Bhd. menerima surat anugerah (LoA) daripada Akas Permai Sdn. Bhd. untuk kerja-kerja subkontrak pembinaan sebuah hotel di Kota Kinabalu bernilai RM82 juta.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kerja-kerja subkontrak itu terdiri daripada kerja-kerja bangunan dan infrastruktur serta semua kerja sampaingan dalam apa juga bentuk yang diperlukan untuk menyiapkan projek berkenaan.
Katanya, jumlah subkontrak itu perlu diselaraskan mengikut kerja-kerja pembinaan sebenar.
"Bertam Development akan memulakan kerja-kerja subkontrak itu berkuat kuasa serta-merta dan tempoh penyiapan itu adalah pada 30 November 2024," katanya.
Sebarang kelewatan, kumpulan itu akan dikenakan ganti rugi yang dipastikan (LAD) sebanyak 0.03% daripada jumlah kontrak untuk setiap hari yang lewat.
LoA itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan berbayar serta pegangan saham pemegang saham besar Bertam kerana ia tidak melibatkan terbitan saham biasa di Bertam.
Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan sesaham, aset bersih sesaham dan penggearan kumpulan Bertam. - DagangNews.com