Betamek, Krakatoa Technologies teroka potensi kerjasama bangunkan sistem pengurusan bateri EV | DagangNews Skip to main content

Betamek, Krakatoa Technologies teroka potensi kerjasama bangunkan sistem pengurusan bateri EV

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mac - Betamek Berhad menerusi anak syarikatnya, Betamek Eletronics Sdn. Bhd. memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Krakatoa Technologies Pte Ltd. bagi meneroka potensi kerjasama untuk membangunkan sistem pengurusan bateri untuk kenderaan elektrik (EV).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, MOU itu berkuat kuasa pada 9 Mac 2023 untuk tempoh 12 bulan.

 

Katanya, mana-mana pihak boleh menarik diri daripada MOU berkenaan pada bila-bila masa dengan memberikan notis bertulis tidak kurang daripada tiga bulan terlebih dahulu kepada pihak yang satu lagi dan ia boleh dilanjutkan dengan persetujuan bertulis kedua-dua pihak.

 

"Menurut MOU, perbincangan dan rundingan terma perjanjian muktamad adalah bergantung pada mendapatkan dan penerusan kelulusan, persetujuan, kebenaran, lesen dan permit daripada kerajaan masing-masing," katanya.

 

Katanya, perjanjian itu tidak mempunyai sebarang kesan ke atas perolehan sesaham, aset bersih sesaham, penggearan, modal saham dan pegangan saham pemegang saham untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023.

 

Kumpulan itu berkata, risiko dalam perjanjian itu adalah minimum sekiranya Betamek memeterai perjanjian muktamad masa hadapan dengan Krakatoa, lembaga pengarah dan pengurusan syarikat akan mengambil kira risiko serta faedah yang berkaitan. - DagangNews.com