Bimbang pertumbuhan global perlahan, Affin Hwang semak turun unjuran harga aluminum bagi 2023 hingga 2025 | DagangNews Skip to main content

Bimbang pertumbuhan global perlahan, Affin Hwang semak turun unjuran harga aluminum bagi 2023 hingga 2025

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - Affin Hwang Capital menyemak turun unjuran harga aluminium untuk 2023 hingga 2025 kesan daripada kebimbangan kelembapan pertumbuhan global dalam pasaran logam berkenaan.

 

Firma itu berkata, kebimbangan mengenai kemerosotan pertumbuhan global itu ditambah dengan jangkaan lebih kecil dalam pasaran aluminium akan menjejaskan purata harga logam itu.

 

"Kami menjangkakan harga aluminium 2023 hingga 2025 pada purata masing-masing pada AS$2,220, AS$2,300 dan AS$2,400 setiap megatan (mt) daripada AS$2,550 sebelumnya.

 

"Kami juga menurunkan andaian harga anod karbon kerana harga telah berkurangan sejak kemuncaknya pada Jun 2022 daripada harga minyak yang lebih rendah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, unjuran harga itu membayangkan bahawa harga aluminium mungkin jatuh di bawah paras AS$1,800 pada suku keempat 2023 selepas mengambil petunjuk daripada harga aluminium yang menyaksikan penurunan selepas kemelesetan ekonomi.

 

"Walaupun andaian penurunan harga jualan purata (ASP) mungkin tidak seperti semasa kemelesetan ekonomi sebelum ini, kami perhatikan bahawa aluminium telah jatuh 40% daripada paras tertinggi AS$3,900 setiap megatan pada Mac 2022.

 

"Kami menjangkakan harga anod karbon pada purata 5,800 yuan bagi setiap megatan untuk tahun ini," katanya.

 

Selaras dengan itu, firma itu mengurangkan unjuran pendapatan Press Metal Aluminium Holdings berhad pada 2023 hingga 2025 sebanyak 37%, 24% dan 10% disebabkan harga aluminium yang lebih rendah, harga anod karbon yang lebih rendah dan ringgit yang lebih lemah.

 

Firma itu menyemak saranan kepada 'jual' dengan harga sasaran RM4.00 sesaham. - DagangNews.com