Binastra peroleh kontrak RM155 juta daripada Greenearth Landmark bina loji rawatan kumbahan di Sri Hartamas | DagangNews Skip to main content

Binastra peroleh kontrak RM155 juta daripada Greenearth Landmark bina loji rawatan kumbahan di Sri Hartamas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Binastra Corporation Bhd menerusi Binastra Builders Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM155.01 juta daripada Greenearth Landmark Sdn Bhd bagi mereka bentuk dan membina loji rawatan kumbahan di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, menerusi kontrak itu, mereka akan membina loji rawatan kumbahan jenis Membrane Biological Reactor (MBR) bagi populasi 160,000 orang di bawah cadangan pembangunan semula tapak loji rawatan kumbahan di Lot 48666 dan 48664.

 

"Kontrak itu perlu disiapkan dalam tempoh 36 bulan dari tarikh permulaan yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya.

 

Projek itu dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan dalam tempoh empat tahun kewangan akan datang.

 

Pengarah Urusan Binastra, Datuk Jackson Tan Kak Seng berkata, pihaknya gembira mendapatkan kontrak baharu kerana ia terus mengembangkan portfolio kumpulan dalam pembangunan alam sekitar dan infrastruktur.

 

Beliau berkata, teknologi MBR menawarkan rumusan yang padat dan cekap tenaga, memberikan kualiti air yang unggul sambil memerlukan ruang yang kurang berbanding kaedah rawatan konvensional.

 

"Projek ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Binastra dalam industri pembinaan dan kejuruteraan, tetapi juga mencerminkan komitmen kami terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sehingga 29 Ogos 2024, buku pesanan tertunggak Binastra berjumlah kira-kira RM2.3 bilion. Kontrak terbaharu itu meningkatkan kemenangan kontrak kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025 kepada RM1.4 bilion. - DagangNews.com