Bintulu Port semak semula tempoh pajakan, struktur tarif selaras dengan industri pelabuhan semasa | DagangNews Skip to main content

Bintulu Port semak semula tempoh pajakan, struktur tarif selaras dengan industri pelabuhan semasa

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Bintulu Port Holdings Berhad sedang dalam perbincangan dengan kerajaan persekutuan bagi melanjutkan perjanjian konsesinya selama 30 tahun lagi bermula 1 Januari 2023.

 

Kenanga Research berkata, perbincangan itu adalah bagi menetapkan tempoh pajakan dan struktur tarif yang lebih baik agar lebih selaras dengan industri pelabuhan semasa selepas kali terakhir ia disemak pada 1993.

 

Buat masa sekarang, tarif kontena Bintulu Port adalah 38% lebih rendah daripada tarif Pelabuhan Perindustrian Samalaju yang lebih baharu.

 

"Pelabuhan Perindustrian Samalaju bersedia untuk mencatatkan pertumbuhan dua digit yang mampan, sejajar dengan pertumbuhan dalam kargo masuk dan keluar pemain utama di Taman Perindustrian Samalaju iaitu Press Metal Bintulu, OM Holdings, Pertama Ferroalloys, Sakura Ferroalloys, PMB Silicon, OCIM, dan Additives Fosfat Malaysia.

 

"Pelabuhan Perindustrian Samalaju mempunyai banyak ruang untuk berkembang dari segi jumlah kargo yang dikendalikan memandangkan kapasiti sedia ada 12 juta tan setahun hanya 44% digunakan pada FY21 dan apabila siap dibangunkan, kapasitinya akan meningkat sebanyak 50% lagi kepada 18 juta tan setiap setahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menyukai Bintulu Port kerana aliran pendapatan yang stabil daripada pengendalian kargo LNG untuk Malaysia LNG Sdn. Bhd. yang biasanya membentuk hampir 50% daripada jumlah keuntungannya.

 

Katanya, ia mungkin bersedia untuk meningkatkan pendapatan jika Bintulu Port diberi kenaikan yang ketara dalam tarif pelabuhannya dan potensi pertumbuhan luar biasa Pelabuhan Perindustrian Samalaju disokong oleh peningkatan pelaburan dalam industri berat di Taman Perindustrian Samalaju.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform'  dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah RM5.90," katanya.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan risiko ketidakupayaan mendapatkan kenaikan tarif pelabuhan yang mencukupi untuk mengimbangi peningkatan kos operasi selain kemelesetan global yang akan menjejaskan industri berat di Taman Perindustrian Samalaju. - DagangNews.com