Bioalpha, LADA bekerjasama bangunkan Langkawi Agro Park bernilai RM15 juta | DagangNews Skip to main content

Bioalpha, LADA bekerjasama bangunkan Langkawi Agro Park bernilai RM15 juta

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan & Pembangunan) LADA, Wan Kamarul Faisal Bin Wan Kamardin (duduk, kiri) dan Pengarah Urusan Kumpulan Bioalpha, William Hon Tian Kok (duduk, kanan) menandatangani perjanjian mengurus dan mengendali.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Dis - Bioalpha Holdings Berhad dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menjalin kerjasama untuk membangunkan projek Langkawi Agro Park bernilai RM15 juta di Langkawi.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Bioalpha berkata anak syarikat, Bioalpha Wellness Sdn Bhd projek berkenaan akan dibangunkan di tanah rizab Melayu milik LADA yang berkeluasan 3.22 hektar di Bandar Padang Mat Sirat.

 

“Taman ini akan menampilkan tarikan yang mempamerkan keseluruhan rantaian bekalan melalui kemudahan bersepadunya yang merangkumi pertanian herba, penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada pemprosesan produk melalui taman herba, galeri herba, bilik pameran demonstrasi dan banyak lagi.

 

“Ia dijangka menyumbang hasil bermula 2026 dan seterusnya melalui pengkomersialan lebih 100 produk herba bernilai tinggi untuk dijual kepada 3 juta pengunjung setahun sebagai aliran pendapatan baharu,” katanya.

 

Menurut Bioalpha, taman itu juga akan dapat memenuhi acara mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran antarabangsa berkaitan pertanian herba dan pertanian.

 

Ia dijangka meningkatkan kedudukan Langkawi sebagai lokasi utama untuk acara antarabangsa, melengkapkan rekod prestasi pulau itu yang terkenal dalam menganjurkan acara bertaraf dunia.

 

Pada masa yang sama, Bioalpha berhasrat untuk memanfaatkan kepakaran pertanian untuk mempromosi dan mendidik tentang herba bernilai tinggi Malaysia kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

 

Matlamatnya adalah untuk mencipta pengalaman edutainment holistik untuk pelawat, di mana mereka boleh memperoleh kesedaran budaya dan pembelajaran yang lebih besar melalui aktiviti tersebut, tambahnya.

 

“Bioalpha juga akan melibatkan petani tempatan bagi mendapatkan bahan mentah herba untuk menghasilkan produk berasaskan herba yang akan menampilkan penjenamaan inspirasi Langkawi dan akan menggunakan herba tempatan yang diperolehi dari Langkawi.

 

“Selain itu, inisiatif ini juga memudahkan pemindahan ilmu, perkongsian pandangan tentang herba dan penanaman serta kemahiran bersama masyarakat setempat.

 

“Impak positif ini dijangka menyumbang kepada pembangunan mampan pulau itu, mewujudkan kesan yang meningkatkan aktiviti ekonomi di seluruh masyarakat setempat,” katanya.  - DagangNews.com