Blog Raw Points diiktiraf Malaysia Book of Records | DagangNews Skip to main content

Blog Raw Points diiktiraf Malaysia Book of Records

Long Yun Siang (tengah) dan COO Roar Point, Ng Wan Hoon (kanan) menerima  sijil pengiktirafan daripada wakil Malaysia Book of Records di Petaling Jaya, baru-baru ini. 

 

SHAH ALAM 15 Sept. – Semasa Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perunding pemasaran dan jenama Roar Point Sdn Bhd, Long Yun Siang, memutuskan untuk memulakan blog pada Hari Valentine pada 2011, ia hanyalah bertujuan untuk memberi suara kepada mereka yang berkecimpung dalam industri ini.

Memulakan karier pengiklanan pada tahun 90-an, Long mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam agensi pengiklanan multinasional membolehkan beliau banyak berkongsi dan menterjemah buah fikiranannya pada setiap hari di blognya yang kenali sebagai ‘Raw Points’.

"Saya cuba memberikan perspektif yang berbeza. Dalam masa sama, saya juga berusaha memberi inspirasi dan membuat orang berfikir dengan cara berbeza setiap masa. Jadi, blog biasanya dimulakan dengan soalan yang kelihatan mudah tetapi dijawab dengan cara yang sangat berbeza; atau dalam kata mudahnya, dengan cara yang tidak dijangka. Kemudian diakhiri dengan soalan lain,” kata Long.

Beliau menulis blog motivasi yang kadangkala boleh diterjemahkan sebagai sindiran, atau juga mengenai pemasaran, penjenamaan, pengiklanan, keusahawanan dan perniagaan.

“Kadangkala ia berkaitan dengan sikap, etika kerja, pengguna, pelanggan dan apa sahaja yang terlintas di fikiran. Siapa kata blog pemasaran hanya perlu bercerita mengenai isu-isu berkaitan pemasaran sahaja? Terdapat banyak maklumat yang perlu diproses dan diserap dalam pemikiran sebagai refleksi diri sesorang usahawan.“

Berikutan sumbangan blog berkenaan, Roar Points baru-baru ini diiktiraf sebagai ‘Blog Bisnes Paling Lama’ oleh Malaysia Book of Records.

Mengikut idea ahli falsafah Friedrich Nietzsche, yang banyak mengajukan persoalan mencabar dogma konvensional, Long melalui blognya tidak pernah penat dalam memberikan buah fikiran dan pandangannya setiap hari sejak blog itu dimulakan pada 2011.

“Saya tidak fikir saya seorang penulis. Saya menulis untuk berfikir. Penulisan banyak membantu saya untuk menjelas dan menajamkan pemikiran. Harapan saya agar blog ini akan dapat memberi manfaat kepada pembacanya.

"Bagi saya, seorang perunding yang baik dapat memberikan anda jawapan, tetapi perunding yang cemerlang memberi inspirasi kepada anda untuk bertanya dengan lebih baik. Itulah pada akhirnya yang ingin saya sampaikan. Ajukan soalan yang baik dan cari cara yang lebih baik untuk menyelesaikannya,” ujarnya.

Long juga adalah seorang penulis yang aktif dan merupakan pengarang buku "Rethink Your Marketing Questions And Answers" dan "500 Questions to Inspire a Better Marketing Plan."

Apabila beliau tidak berkarya di blognya, Long dan pasukannya di Roar Point turut  menawarkan khidmat nasihat pelanggan mengenai penyelesaian pemasaran dan penjenamaan - dari cara memulakan sesuatu jenama, memberikan nama dan membuat logo sehinggalah menghidupkan jenama tersebut untuk memasarkannya.

Beliau menjalankankan ‘Masterclass’ Pemasaran dan Penjenamaan secara bulanan untuk melatih meningkatkan kemahiran pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) serta juga pengamal industri pemasaran dan penjenamaan. 
Raw Points boleh dilayari di https://roar-point.com/ - DagangNews.com