BNM dijangka kekalkan OPR pada 2.75% dalam mesyuarat MPC, Khamis ini - Standard Chartered | DagangNews Skip to main content

BNM dijangka kekalkan OPR pada 2.75% dalam mesyuarat MPC, Khamis ini - Standard Chartered

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Khamis ini, kata Standard Chartered Bank (Singapore) Ltd.

 

Bank pusat itu sebelum ini membuat kejutan dengan menghentikan normalisasi monetarinya pada Januari 2023 dan Standard Chartered berpendapat kenaikan seterusnya akan berlaku pada Mei ini.

 

"Dengan subsidi masih ada, inflasi Januari mula menyederhana dan hanya satu bulan data sejak Januari, BNM berkemungkinan mengekalkan pendirian tunggu dan lihat untuk menilai kesan pelarasan OPR lepas terkumpul.

 

"Kami akan melihat bagaimana penilaian BNM terhadap pertumbuhan domestik dan prospek inflasi telah berkembang sepanjang bulan lalu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bank itu berkata, BNM menghentikan sementara kenaikan kadar pada Januari kerana ia dilihat tidak memihak kepada pertumbuhan ekonomi dan ia mempunyai penilaian positif terhadap ekonomi domestik dan membiarkan ruang untuk kenaikan selanjutnya.

 

Justeru, Standard Chartered mengekalkan saranannya agar BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 3% pada Mei ini, lebih awal daripada jangkaan rasionalisasi subsidi bahan api pada separuh kedua 2023, yang mungkin mengecualikan kumpulan pendapatan T20 daripada subsidi bahan api.

 

“Berdasarkan andaian harga minyak Kementerian Kewangan sebanyak AS$80 (RM358) setong, kami menganggarkan penghapusan subsidi bahan api untuk kumpulan pendapatan T20 akan menambah 0.5 mata peratusan kepada inflasi setiap tahun,” kataya. - DagangNews.com