KUALA LUMPUR 6 Sept - Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 3.00% memberi gambaran kadar inflasi kekal stabil dan tidak melebihi 3% pada separuh kedua 2024.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, memandangkan kesan subsidi diesel dan pelarasan harga terhadap inflasi dapat dikawal dengan langkah mitigasi serta penguatkuasaan yang berkesan bagi meminimumkan kesan kos ke atas perniagaan.
Katanya, inflasi akan kekal stabil dengan kadar inflasi utama ialah 2% manakala inflasi teras ialah 1.9%.
"Kadar inflasi tahun penuh 2024 dan inflasi teras dijangka berada dalam julat masing-masing 2.0% hingga 3.5% dan 2.0% hingga 3.0% dan tidak akan melebihi 3%.
"Pada masa sama kami berpendapat, rasionalisasi subsidi petrol RON95 adalah tidak mungkin berlaku pada tahun ini.
"Risiko menaik kepada inflasi juga bergantung kepada sejauh mana kesan limpahan langkah dasar domestik terhadap subsidi dan kawalan harga kepada arah aliran harga yang lebih luas, serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Bank Negara Malaysia kekal OPR pada kadar 3.00 peratus
Maybank IB berkata, bank pusat itu menjangkakan, momentum pertumbuhan ekonomi mampan didorong permintaan domestik yang berdaya tahan kerana pertumbuhan pekerjaan, gaji dan perbelanjaan pelancong menyokong penggunaan swasta.
Selain itu katanya, ia disokong pengembangan berterusan yang teguh dalam aktiviti pelaburan mengenai kemajuan dalam projek sektor swasta dan awam berbilang tahun, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk negara, dan merealisasikan pelaburan yang diluluskan yang kukuh.
"Eksport dijangka terus meningkat oleh kitaran peningkatan teknologi global dan kekuatan berterusan dalam barangan bukan elektrik dan lektronik (E&E).
"Risiko kepada unjuran ekonomi domestik adalah seimbang antara kemerosotan kepada permintaan luar dan keluaran komoditi serta limpahan yang lebih besar daripada kitaran naik teknologi, aktiviti pelancongan selain pelaksanaan projek sedia ada dan baharu yang lebih pantas," katanya.
Firma penyelidikan itu menjangkakan OPR kekal pada 3.00% sehingga akhir 2025 memandangkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat tahun ini dan jangkaan momentum yang mampan tahun depan serta risiko kenaikan kadar inflasi pada 2025 di tengah-tengah rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang tidak diketahui.- DagangNews.com