BNM tegaskan keputusan mengenai OPR ditentukan oleh persekitaran ekonomi domestik | DagangNews Skip to main content

BNM tegaskan keputusan mengenai OPR ditentukan oleh persekitaran ekonomi domestik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Feb - Keputusan untuk menentukan kadar dasar semalaman (OPR) tidak bergantung kepada bank pusat lain sebaliknya ditentukan oleh persekitaran ekonomi domestik.

 

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus menegaskan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan memutuskan polisi monetari berdasarkan kepada perkembangan domestik semasa dan kestabilan harga dan beberapa faktor lain.

 

Beliau berkata, keputusan untuk menghentikan seketika kenaikan OPR baru-baru ini adalah perkara biasa. 

 

"Saya ingin tegaskan bahawa, OPR tidak ditentukan oleh bank-bank pusat lain tetapi ia akan ditentukan oleh MPC selepas mengambil kira faktor-faktor berkaitan.

 

"Tidak salah untuk kita hentikan seketika kenaikan OPR bagi membolehkan jawatankuasa membuat penilaian bagi membolehkan negara meneruskan perkembangan yang mampan," katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi suku keempat 2022, hari ini.

 

Sebelum ini, BNM membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada 2.75% pada mesyuarat MPC pertama pada Januari 2023.

 

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira ekonomi global terjejas akibat tekanan kos yang kekal tinggi, kadar faedah yang lebih tinggi serta gangguan berkaitan COVID-19 di China. 

 

Kesan faktor-faktor itu melebihi kesan sokongan daripada keadaan pasaran pekerja yang positif serta pembukaan semula sepenuhnya ekonomi dan sempadan antarabangsa. - DagangNews.com