Boost sediakan had dompet sehingga RM500,000 dengan Merchant B2B Wallet | DagangNews Skip to main content

Boost sediakan had dompet sehingga RM500,000 dengan Merchant B2B Wallet

KUALA LUMPUR 11 Jan - Boost yang merupakan cabang fintech Axiata melancarkan Merchant B2B Wallet yang menyediakan pemilik perniagaan had dompet sehingga RM500,000 dengan kelulusan lesen e-wang daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Merchant B2B Wallet ini disepadukan ke dalam aplikasi Boost Biz sedia ada dengan fungsi pembayaran kod QR yang akan membolehkan peniaga mendigitalkan perniagaan mereka bersama-sama dengan transaksi yang dipermudahkan.

 

Selain daripada had dompet Merchant B2B Wallet yang lebih besar, peniaga akan menikmati ciri 'Penyelesaian dan Pembayaran Segera' baharu, membolehkan akses segera kepada wang tunai selepas menerima resit dan menghapuskan masa menunggu pelaksanaan penyelesaian, yang kebiasaannya dijelaskan atau diselesaikan pada hari bekerja berikutnya.

 

Peniaga juga kini boleh membayar secara serta-merta perbelanjaan perniagaan seperti bil utiliti dan invois pembekal menerusi aplikasi Boost Biz itu sendiri sejurus menerima pembayaran daripada pelanggan masing-masing.

 

Pengeluaran tunai juga bakal menjadi pengalaman yang lancar kerana peniaga berhak memilih permintaan pengeluaran ke dalam akaun bank semasa mereka yang akan dinyatakan pada hari perniagaan berikutnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, pihaknya sangat teruja kerana visi untuk membina ekosistem yang membolehkan peniaga menjalankan berurus niaga dengan lebih lancar merentasi rantaian bekalan B2B yang membuahkan hasil.

 

Dengan kelulusan daripada BNM baru-baru ini untuk Merchant B2B Wallet, kami akan meneruskan usaha untuk memperkasakan lagi perniagaan secara digital, terutamanya dalam kalangan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan melalui penyelesaian fintech inovatif yang unik kepada Boost.

 

"Kami berharap Langkah ini juga dapat menyumbang secara positif kepada ekonomi negara dengan memperjuangkan masyarakat yang dipacu secara digital dan memacu transformasi digital untuk perniagaan dari semua saiz tanpa sebarang halangan," katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Boost Biz, Eric Chong pula berkata, pihaknya mahu memberikan pedagang akses kepada teknologi canggih dan penyelesaian yang mudah dalam aplikasi Boost Biz.

 

"Melangkah ke hadapan, peniaga boleh menjimatkan masa untuk membuat pelbagai pembayaran bil berkaitan perniagaan melalui variasi platform dan meluangkan lebih banyak masa untuk fokus dalam membina operasi perniagaan mereka.

 

"Dengan pelancaran Merchant B2B Wallet, ia seterusnya menandakan bahawa Boost ialah satu-satunya aplikasi yang anda perlukan untuk memudahkan lagi perniagaan," katanya.

 

Terdapat dua jenis dompet yang ditawarkan dalam aplikasi Boost Biz yang menyasarkan segmen pedagang yang berbeza iaitu pedagang individu dan langsung.

 

Bagi pedagang individu yang mendaftar menggunakan kad pengenalan, mereka akan mempunyai akses kepada saiz Merchant B2B Wallet sebanyak RM30,000, manakala bagi pedagang langsung yang mendaftar menggunakan nombor pendaftaran perniagaan, mereka akan mempunyai akses kepada saiz Merchant B2B Wallet yang dipertingkatkan iaitu sebanyak RM500,000. - DagangNews.com