Cukai dividen, kos buruh yang lebih tinggi dijangka beri kesan kepada dagangan Bursa Malaysia, kata CIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Cukai dividen, kos buruh yang lebih tinggi dijangka beri kesan kepada dagangan Bursa Malaysia, kata CIMB Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Okt - Bursa Malaysia dijangka menyaksikan sedikit kelemahan pada minggu-minggu hadapan apabila pelabur memberi reaksi terhadap pengenalan cukai dividen dan peningkatan kos buruh yang memberi kesan terhadap margin keuntungan kepada kebanyak syarikat.

 

Belanjawan 2025 memperkenalkan cukai 2% ke atas dividen melebihi RM100,000 mulai 2025.

 

CIMB Securities berkata, cukai dividen mungkin menyebabkan sesetengah pelabur mempertimbangkan semula pelaburan dalam saham yang menghasilkan dividen tinggi, manakala caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menyebabkan kos buruh yang lebih tinggi daripada jangkaan bagi sektor yang menggaji sejumlah besar pekerja asing kerana ia akan menimbulkan risiko pendapatan korporat.

 

Katanya, sektor pembinaan, hartanah, penjagaan kesihatan dan permainan berkemungkinan mendapat manfaat daripada langkah Belanjawan 2025.

 

Sementara sektor automotif, perladangan, teknologi dan sarung tangan getah mungkin terjejas secara negatif oleh gaji minimum yang lebih tinggi, pengenalan levi pekerja asing pelbagai peringkat dan caruman KWSP mandatori untuk pekerja asing.

 

"Walaupun Belanjawan 2025 meningkatkan pemberian tunai dan gaji minimum, langkah ini mungkin tidak cukup signifikan untuk meningkatkan pendapatan korporat secara material atau mengimbangi peningkatan kos buruh dan cukai jualan dan perkhidmatan yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, langkah meningkatkan pendapatan Belanjawan 2025 selain langkah sedia ada seperti Akaun 3 KWSP yang fleksibel dan kenaikan gaji penjawat awam yang akan berlaku, seharusnya memberi impak positif kepada pasaran pengguna runcit dan pasaran kereta nasional.

 

Katanya, langkah meningkatkan pendapatan termasuk pemberian tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang lebih tinggi sebanyak 30% kepada RM13 bilion; kenaikan gaji minimum sebanyak 13% kepada RM1,700; dasar gaji progresif pada 2025; garis panduan gaji permulaan untuk semua sektor dan caruman KWSP untuk pekerja bukan warganegara.

 

Sebaliknya, gaji yang lebih tinggi akan memberi kesan kepada sektor intensif buruh seperti pembinaan, perkhidmatan pembuatan elektronik, sarung tangan dan perladangan.

 

"Perbelanjaan pembangunan yang tinggi yang mampan pada RM86 bilion memberi petanda baik untuk pembinaan yang sudah berkembang maju daripada aliran kontrak pusat data, manakala pelepasan cukai untuk pembeli rumah pertama (RM7,000 dan RM5,000) adalah positif bagi pemaju hartanah, terutamanya mereka yang tertumpu pada harga mampu milik bagi segmen perumahan pertengahan, seperti Mah Sing Group Bhd dan Matrix Concepts Holdings Bhd," katanya.

 

CIMB Securities mengekalkan sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI sebanyak 1,732 mata untuk 2024. Pilihan sektor utamanya ialah pembinaan dan penjagaan kesihatan, sebagai penerima manfaat utama Belanjawan 2025.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, Belanjawan 2025 adalah bercampur-campur untuk pasaran, dengan positif luas daripada penyatuan fiskal yang bertanggungjawab dan penggalak pendapatan berkemungkinan mengimbangi kos buruh yang lebih tinggi dan potongan cukai dividen yang tidak dijangka.

 

"Kami mengekalkan sasaran KLCI penghujung 2024 kami pada 1,700 (15.5 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) CY24). 

 

"Pada pandangan kami, pasaran boleh mendapat semula daya tarikan pada November-Disember apabila Fed melaksanakan pemotongan selanjutnya, di samping tradisi akhir tahun," katanya.- DagangNews.com