Boustead Plantations berdepan risiko penyusutan pendapatan kesan produktiviti yang rendah, kata BIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Boustead Plantations berdepan risiko penyusutan pendapatan kesan produktiviti yang rendah, kata BIMB Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - Boustead Plantations Berhad berhadapan risiko penyusutan pendapatan kesan daripada produktiviti yang rendah akibat kekurangan tenaga pekerja yang berpanjangan terutama ketika musim menuai.

 

BIMB Securities Research berkata, kumpulan itu juga berdepan kos operasi yang tinggi selain harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

"Unjuran pendapatan itu ada kaitan dengan purata harga jualan (ASP) produk dan pengeluaran sawit dan pada masa sama kegagalan menjana wang daripada bank tanah perladangan yang terdapat di Sarawak.

 

"Kami bagaimanapun mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan bagi FY23 dan FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM1.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) berbanding RM1.1 bilion pada FY21.

 

Keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBT) sebanyak RM729 juta mengatasi tempoh sama pada tahun lalu sebanyak RM345 juta.

 

Ia termasuk keuntungan daripada pelupusan tanah di Kulai, pelupusan sebahagian tanah Bukit Mertajam dan perolehan tanah kerajaan di Ladang Telok Sengat, yang berjumlah RM459 juta.

 

Firma itu berkata, segmen Sarawak terus mencatatkan kerugian RM3.7 juta pada 4QFY22 berbanding keuntungan RM5.6 juta pada 4QFY21 apabila pengeluaran buah tandan segar (BTS) menurun sebanyak 5% kepada 18,308 tan. 

 

"Keadaan itu juga berpunca daripada ladang sawit yang semakin berusia," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 69 sen sesaham. - DagangNews.com