Boustead rugi besar, bakal diswastakan | DagangNews Skip to main content

Boustead rugi besar, bakal diswastakan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mac - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dipercayai akan menswastakan Boustead Holdings Berhad. 

 

Lembaga itu memiliki pegangan sebanyak 59.4% di dalam kumpulan itu tetapi sehingga kini tidak diketahui berapa harga yang akan ditawarkan LTAT kepada pemegang saham untuk menswastakan kumpulan itu.

 

Dagangan sekuriti Boustead digantung dari 2.30 petang hingga 5 petang pada 2 Mac 2023 sementara menunggu pengumuman penting, menurut pemfailan di Bursa Malaysia.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatat kerugian bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) selepas menerima tempias langsung daripada penurunan nilai inventori sebanyak RM552.3 juta berikutan stok vaksin COVID-19 yang ditanggung oleh Pharmaniaga, di mana ia menguasai 52% kepentingan.

 

Kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM402.3 juta atau 19.85 sen sesaham, berbanding keuntungan bersih RM78.6 juta atau 3.88 sen sesaham pada 4QFY21.

 

Ini berlaku walaupun terdapat pertumbuhan 25% dalam hasil suku tahunan kepada RM3.69 bilion daripada RM2.96 bilion.

 

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Izaddeen Daud berkata rosot nilai tersebut "memang sangat membimbangkan".

 

Bagaimanapun, pihaknya yakin Pharmaniaga kekal sebagai usaha berterusan dan bersedia untuk memanfaatkan prospek kukuh sektor farmaseutikal, di dalam dan di peringkat serantau.

 

“Kami menyokong pasukan pengurusan untuk memastikan pelan penyusunan teratur yang mantap disediakan untuk mengukuhkan kunci kira-kira syarikat dan secara progresif berusaha ke arah melepaskan status PN17 (Nota Amalan 17),” katanya.

 

Pada masa sama, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman diumumkan sebagai Pengerusi Bukan eksekutif baharu kumpulan Boustead.

 

Ahmad Nazim, 47, merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di LTAT yang memiliki 59.4% ekuiti Boustead.

 

Terdahulu, Boustead menetapkan semula jawatan pengarah kewangan kumpulannya, Fahmy Ismail sebagai ketua pegawai kewangan kumpulannya.

 

Fahmy kini berkhidmat sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Plantations Bhd.

 

UOB Malaysia difahamkan sedang menasihati LTAT mengenai usaha penswastaan itu. - DagangNews.com