TAIPING 16 Dis - Taman tema air Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di sini kekal menjadi destinasi pilihan pengunjung semasa cuti persekolahan kerana pelbagai keunikan yang tersedia.
Bagi keluarga besar, kunjungan ke sini tidak terbeban kerana harga bilik dan tiket masuk ke taman tema air yang dikenakan adalah amat berpatutan dan berbaloi.
Selain itu, lokasinya yang berdekatan dengan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) juga memudahkan untuk diakses.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MK Land Holdings Berhad, Dato’ Faris Yahaya berkata, BMLR bukan sahaja dikunjungi pengunjung setempat, malah juga dari Pantai Timur dan selatan tanah air.
"Rata-rata pengunjung yang ditemui menjelaskan mereka mengambil kesempatan cuti sekolah yang panjang untuk membawa anak-anak bercuti dan berjalan-jalan.
"BMLR menjadi pilihan persinggahan destinasi pelancongan dalam kalangan pengunjung ini selain faktor harga yang dikenakan berpatutan pada mereka," ujarnya dalam satu kenyataan.
Selain taman tema air, terdapat pelbagai tarikan di sini seperti zoo haiwan peliharaan, Pulau Orang Utan, berkayak dan aktiviti rentas hutan.
Jelas Faris lagi, sempena cuti sekolah BMLR turut menawarkan pakej Syioknya Holiday pada harga istimewa sepanjang cuti sekolah sehingga 31 Januari 2023.
Ia bermula serendah RM20 untuk tiket masuk kanak-kanak ke taman tema dan pakej lengkap dua hari satu malam di Laketown Hotel (RM218) termasuk sarapan, taman tema dan berkayak.
“Bagi menarik lebih lebih ramai pengunjung, pihak resort akan mengadakan penganjuran lebih banyak aktiviti di Bukit Merah Laketown.
"Misalnya kita menganjurkan acara berbasikal Shimano Bukit Merah Laketown Resort Jamboree 2022 esok.
"Dijangkakan seramai 1,000 peserta dari seluruh negara akan menyertai aktiviti berkayuh ini yang melibatkan jarak kayuhan sejauh 58 kilometer," ujarnya. - DagangNews.com