Bursa Malaysia arah Serba Dinamik lantik firma perakaunan menjelang 2 Julai | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia arah Serba Dinamik lantik firma perakaunan menjelang 2 Julai


KUALA LUMPUR 28 Jun - Bursa Malaysia Securities Berhad mengarahkan Serba Dinamik Holdings Berhad supaya melantik firma perakaunan untuk melaksanakan Kajian Semula Bebas Khas (SIR) berkaitan isu-isu yang dibangkitkan oleh KPMG menjelang 2 Julai ini.

 

Bursa Malaysia mengeluarkan tiga arahan kesemuanya mengikut perenggan 2.23 dan 2.24 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama iaitu :

 

a) Supaya melantik, menjelang 2 Julai 2021, satu firma perakaunan antarabangsa atau firma perakaunan, yang memiliki sekutu antarabangsa, yang mempunyai pengalaman dan sumber-sumber sewajarnya, untuk melaksanakan SIR bagi menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh KPMG.

 

b) Memastikan firma perakaunan yang dilantik atau sekutunya mempunyai kehadiran di Bahrain dan lokasi luar negara seumpamanya, di mana pelanggan dan pembekal Serba Dinamik berada, seperti yang diketengahkan oleh KPMG.


c) Memastikan skop SIR adalah seperti yang dipersetujui antara Jawatankuasa Audit dan Ernst & Young
Advisory Services Sdn. Bhd., yang mana skopnya telah dikongsi dengan Bursa Securities pada 15 Jun
2021 atau seperti diarahkan oleh Bursa Securities; dan


d) Membenarkan firma perakaunan untuk melaksanakan SIR dan melapor terus kepada Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia secara berkala mengenai kemajuan SIR dan penemuan-penemuan sejurus penyiapan laporan SIR tersebut.


"Arahan ini dikeluarkan bagi memastikan isu-isu yang diketengahkan oleh KPMG ditangani mengikut masa dan memberikan suatu bentuk jawapan jelas kepada pasaran," kata bursa dalam kenyataan di sini malam ini.

 

"Bursa menarik perhatian para pelabur terhadap pengumuman Serba Dinamik bertarikh 28 Jun lalu, berhubung status pelantikan Juruaudit Bebas bagi menilai semula penemuan KPMG yang terdahulu.

 

"Dalam hal ini, Bursa Securities mencatat sehingga kini, Serba Dinamik belum secara rasmi berbuat demikian," kata bursa. - DagangNews.com