Bursa Malaysia catat aliran keluar bersih sebanyak RM562.61 juta | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia catat aliran keluar bersih sebanyak RM562.61 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Bursa Malaysia mencatatkan aliran keluar selepas pelabur asing melupuskan ekuiti Malaysia bernilai RM562.61 juta berbanding jualan bersih RM186.16 juta pada minggu sebelumnya, menandakan aliran keluar minggu ketiga berturut-turut.

 

MIDF Research berkata, aliran keluar bersih sebanyak RM562.61 juta hasil daripada aktiviti jualan bersih setiap hari dalam seminggu dan mereka menjadi penjual bersih selama lapan hari dagangan berturut-turut sejak 13 September 2022.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sebahagian besar aliran keluar bersih asing berlaku pada Rabu, Khamis dan Jumaat masing-masing pada RM193.63 juta, RM123.36 juta dan RM218.03 juta.

 

"Pelabur asing menjadi penjual bersih sebanyak RM17.40 juta pada Isnin dan RM10.19 juta pada Selasa.

 

"Institusi tempatan menjadi pembeli bersih sebanyak RM351.23 juta minggu lepas, selepas menjadi penjual bersih sebanyak RM4.67 juta minggu sebelumnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, peruncit tempatan mengekalkan pendirian sebagai pembeli bersih minggu lalu dengan RM211.38 juta. 

 

Mereka adalah pembeli bersih setiap hari dengan sebahagian besar jumlah itu masuk pada Isnin sebanyak RM69.55 juta dan Jumaat pada RM70.09 juta.

 

Firma itu berkata, tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran keluar bersih oleh pelabur asing minggu lepas ialah penjagaan kesihatan sebanyak RM178.7 juta, perkhidmatan kewangan sebanyak RM143.5 juta dan produk dan perkhidmatan perindustrian sebanyak RM102.2 juta.

 

Hanya dua sektor mencatatkan aliran masuk bersih iaitu pembinaan sebanyak RM66.9 juta serta telekomunikasi dan media RM5.2 juta.

 

"Sehingga kini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 24 daripada 38 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih RM7.36 bilion.

 

“Institusi tempatan adalah penjual bersih selama 29 daripada 38 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM9.56 bilion. 

 

"Peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 23 daripada 38 minggu 2022. Setakat ini, mereka telah menjadi pembeli bersih sebanyak RM2.19 bilion,” katanya. - DagangNews.com