KUALA LUMPUR 16 Mac - Bursa Malaysia Berhad menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan berwaspada terhadap penipuan pelaburan.
Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan laporan penipuan pelaburan menggunakan pelbagai saluran media sosial, termasuk aplikasi seperti Whatsapp, Telegram dan iMessage untuk menarik orang ramai bagi menyertai skim pelaburan yang meragukan.
"Orang ramai perlu berwaspada apabila didekati oleh pihak yang menyamar sebagai wakil Bursa Malaysia, pekerja atau ejek pihak ketiga," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi & Digital, rakyat Malaysia kerugian hampir RM600 juta pada 2022 dengan jumlah itu meningkat daripada RM511 juta pada 2021, akibat penipuan dalam talian dan jenayah siber lain.
Penipuan terbaharu yang dicatatkan adalah pada WhatsApp, dengan penerima digesa untuk membuat susulan pada akaun dagangan mereka atau menyertai kumpulan WhatsApp, dengan menghubungi nama dan nombor mudah alih yang diberikan dalam mesej WhatsApp.
"Bursa Malaysia menafikan secara mutlak mengeluarkan komunikasi ini," katanya.
Terdahulu, penipu ini menyalah gunakan nama dan logo Bursa Malaysia, serta menyemar sebagai pekerja.
Penipuan baru-baru ini termasuk menggunakan nama dan gambar pengurusan tertinggi Bursa Malaysia untuk menarik orang ramai melabur dalam skim pelaburan yang tidak dibenarkan.
"Bursa Malaysia juga ingin mengingatkan orang ramai agar hanya melabur dengan profesional pelaburan berlesen.
"Apabila ragu-ragu, sila lawati Akademi Bursa di https://bursaacademy.bursamarketplace.com/en/investor-alert untuk senarai perantara dan wakil berlesen," katanya. - DagangNews.com