Bursa Malaysia kini papar skor F4GBM ESG di laman web | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia kini papar skor F4GBM ESG di laman web

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Bursa Malaysia mengumumkan bahawa skor FTSE4Good Bursa Malaysia (“F4GBM”) Environmental, Social and Governance (ESG) bagi syarikat tersenarai awam (PLC) kini boleh dilihat di laman webnya.

Bursa Malaysia memberitahu, pembaharuan berkenaan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkenal dan menggalakkan amalan ESG dalam pasaran. 

“Surat berita pada setiap separuh tahunan juga boleh didapati di laman web bagi menyediakan ketelusan dan maklumat lanjut berkenaan pembaharuan dalam landskap ESG kepada orang awam,” jelas Bursa Malaysia dalam kenyataannya hari ini. 

Bursa Malaysia telah melancarkan indeks F4GBM sejak 2014 menerusi kerjasama dengan FTSE Russell yang menunjukkan usaha bersepadu oleh saham itu untuk memberi sokongan kepada pelabur yang berminat untuk menerapkan elemen ESG ke dalam keputusan pelaburan mereka. 

Pengenalan F4GBM juga membolehkan syarikat yang mengadaptasinya untuk menambahbaik profil dan pendedahan mereka. 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, pelabur dan pemegang saham kini menginginkan ketelusan dan kebertanggungjawapan yang tinggi daripada syarikat yang dilaburkan, memandangkan mereka meletakkan minat tinggi dalam impak sosial dan persekitaran sebelum membuat keputusan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift
Muhamad Umar Swift

 

“Sebagai pengawal selia dan pengendali pasaran utama, kami ingin menyediakan sebuah persekitaran yang menggalakkan kemampanan dalam kalangan peserta pasaran,” kata beliau dalam kenyataan sama.

Setakat Jun 2020, konstituen indeks F4GBM telah mencecah tiga kali ganda meningkat daripada 24 sehingga 73 sekali gus menunjukkan  ESG meraih momentum di syarikat-syarikat Malaysia. 

Menerusi pendedahan kadar ESG ke atas PLC secara terbuka, ia akan menjadi rujukan terbaik kepada pelabur untuk mencari syarikat yang mempunyai prestasi ESG terbaik.

Selain itu, kadar ESG juga boleh digunakan sebagai unit terkumpul untuk mengintegrasikan ESG ke dalam pelaburan dengan pelbagai cara termasuk pengurusan portfolio aktif, pembinaan penanda aras dan penglibatan syarikat. 


F4GBM dan surat berita boleh dilihat menerusi pautan https://www.bursamalaysia.com/trade/our_products_services/indices/ftse_bursa_malaysia_indices/overview. - DagangNews.com