KUALA LUMPUR 9 Feb - Bursa Malaysia Berhad menambahbaik Rangka Kerja Jual Beli Sekuriti Islam - Transaksi Rundingan (ISSBNT) melibatkan penjualan dan pembelian sekuriti patuh syariah, yang memberikan hasil yang setara dengan transaksi pinjaman sekuriti konvensional tetapi distrukturkan mengikut prinsip syariah.
ISSBNT yang merupakan alternatif patuh syariah pertama di dunia kepada pinjaman dan pinjaman sekuriti dilancarkan Bursa pada Disember 2017.
Ia juga melibatkan Pilihan Pemulihan Tambahan yang membolehkan pengguna memperoleh kembali sekuriti jika status Sekuriti Layak ISSBNT berubah kepada tidak patuh syariah, manakala rangka kerja sebelumnya hanya membenarkan transaksi diselesaikan secara tunai melalui murabahah komoditi atau penggantian dengan sekuriti patuh syariah yang serupa sebagai pilihan pemulihan.
Pilihan Pemulihan Tambahan memerlukan tempoh penangguhan selama tujuh hari pasaran bagi menyediakan masa yang mencukupi untuk pemindahan dan transaksi sekuriti berlaku, selepas mengambil kira kitaran penjelasan dan penyelesaian T+2.
Bagaimanapun, bagi membolehkan pilihan itu digunakan, pelaksanaan mesti diselesaikan dalam tempoh tujuh hari pasaran dari tarikh kuat kuasa Senarai Sekuriti Patuh Syariah yang dikemas kini oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, model ISSBNT yang dipertingkatkan itu adalah sebagai maklum balas kepada permintaan industri dalam memenuhi keperluan pelaburan dinamik dan landskap pasaran hari ini.
"Pilihan penyelesaian tambahan akan menyediakan persekitaran dagangan yang lebih bagi membolehkan peserta pasaran lebih fleksibiliti untuk membeli serta menjual sekuriti patuh syariah di bawah model ISSBNT yang akan meningkatkan mudah tunai dagangan selain halaju aset sekuriti patuh syariah," katanya.
Sehingga kini, Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah menyemak dan meluluskan 163 sekuriti patuh syariah yang layak untuk transaksi ISSBNT.
Pada tahun lalu, Bursa telah menggunakan tiga wakil pembekal yang diluluskan di bawah Rangka Kerja ISSBNT, iaitu CGS-CIMB Securities Sdn. Bhd., Kenanga Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan kepada empat termasuk Affin Hwang Investment Bank Berhad yang menyertai mereka pada 2018. - DagangNews.com