Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Sept. - Bursa tempatan merudum dalam penutupan petang ini di sebalik keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR), secara tidak langsung mencerminkan sentimen berhati-hati pelabur terhadap pemulihan ekonomi negara.
Indeks utama FBM KLCI ditutup 18.74 mata atau 1.17% lebih rendah kepada 1,578.89 mata setelah bergerak dalam jajaran antara 1,577.45 hingga 1,592.74 mata.
Reuters melaporkan, bursa tempatan yang jatuh ke paras terendah dalam tempoh sebulan sejak 30 Julai lalu turut menjejaki pasaran Asia yang lain ekoran kebimbangan terhadap sejauh mana pemulihan ekonomi meskipun keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) sudah dijangkakan.
Malah, ekuiti dalam pasaran serantau yang lebih luas berada dalam tekanan berikutan kerugian semalaman di Wall Street dengan kebimbangan terhadap varian Delta boleh menggugat pemulihan ekonomi semakin memuncak.
Pada masa sama, kebimbangan pelabur turut terjejas apabila kerajaan China pada Rabu memastikan undang-undang baharu terhadap syarikat permainan atas talian dilaksanakan dan akan memerangi penyelewengan dalam industri ride-hailing.
Sementara itu, menurut PublicInvestment Research, KLCI mungkin mengakhiri dagangan minggu ini dengan negatif selepas pasaran saham global merudum semalam.
"Ini berlaku pada ketika para pelabur menjangkakan bank pusat (global) akan memansuhkan langkah-langkah ransangan yang mana ia telah membantu meningkatkan pasaran sepanjang mengharungi cabaran wabak COVID-19," katanya dalam nota kajian hari ini.
Keseluruhan pasaran petang ini berakhir negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 747 berbanding 338 manakala 413 tidak berubah dan 721 tidak diniagakan.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 4.18 bilion bernilai RM2.92 bilion, lebih rendah daripada semalam sebanyak 5.9 bilion saham bertukar tangan bernilai RM3.23 bilion.
Dalam kalangan kaunter untung, saham Sungei Bagan Rubber Company (Malaya) Bhd. mendahului dagangan selama 2 hari berturut-turut dengan menokok 46 sen kepada RM4.17.
Ia diikuti dengan saham Batu Kawan Bhd. menokok 40 sen kepada RM21 manakala Y&G Corp. Bhd. naik 33 sen kepada RM1.43.
Sebaliknya, saham-saham wajaran tinggi kebanyakan mendahului dagangan kaunter rugi antaranya, Petronas Gas Bhd. susut 36 sen kepada RM16.74, MISC Bhd. susut 33 sen kepada RM6.97 dan Kuala Lumpur Kepong Bhd. susut 30 sen kepada RM21.20.
Dagangan kaunter ini bagaimanapun didahului dengan saham Malaysian Pacific Industries Bhd. susut RM1.08 kepada RM45.22.
Bagi dagangan aktif pula, saham Kanger International Bhd. diniagakan paling rancak menokok 0.05 sen kepada 6.5 sen.
Namun, saham KNM Group Bhd. susut 0.05 kepada 26 sen diikuti CTOS Digital Bhd. susut 6 sen kepada RM1.82 dan Serba Dinamik Holdings Bhd. susut 1 sen kepada 38.5 sen. - DagangNews.com