Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Dis. - Pasaran tempatan petang ini ditutup tinggi, selepas menokok 8.81 mata kepada 1,631.70 mata, paras tertinggi sejak Jun 2019.
Indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang bergerak dalam jajaran 1,624.95 hingga 1631.72 menyaksikan 11.26 bilion saham diniagakan bernilai RM6.39 bilion.
Kaunter rugi bagaimanapun mengatasi untung pada 652 berbanding 594 manakala 460 kaunter tidak berubah.
Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.0700/0740 berbanding dolar Amerika Syarikat, lebih rendah berbanding penutupan semalam pada RM4.0670/4.0710.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, dalam kalangan komponen FBM KLCI, Top Glove menerajui kaunter untung dengan meningkat 7.4% manakala Hong Leong berada dalam kaunter rugi dengan penurunan 1.7%.
Dari segi sektor katanya, Indeks Penjagaan Kesihatan Bursa Malaysia meningkat 2.2% hari ini disokong oleh harga saham Top Glove.
"Indeks Logistik dan Pengangkutan pula menyaksikan kenaikan 2% ekoran kenyataan Tony Fernandes yang optimis terhadap prospek AirAsia pada tahun hadapan.
"Sementara itu, Indeks Tenaga diseret turun 3% ekoran perintah berkurung dilaksanakan di California, AS sehingga Krismas dan jangkitan COVID-19 yang terus meningkat di AS dan Eropah, terus memberi tekanan kepada harga minyak," katanya kepada DagangNews.com.
Semalam, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjual 7.15 juta lagi saham dalam Top Glove, mengurangkan kepentingannya dalam pembuat sarung tangan perubatan terbesar dunia itu kepada 5.63%.
Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata kepada Bernama, pemulihan ringgit daripada penurunan penarafan kredit oleh Fitch Ratings baru-baru ini mungkin akan mengambil masa.
Bagaimanapun, indeks ringgit menunjukkan ia bergelut untuk menebus penyusutan itu selepas meningkat pada minggu lalu.
Reuters melaporkan kebanyakan pasaran saham Asia bergelut pada Selasa manakala pasaran di Korea Selatan pula menjunam ekoran meningkatkan kebimbangan terhadap lonjakan jangkitan COVID-19.
Malah, pasaran juga semakin suram apabila AS mengenakan sekatan kewangan ke atas sekumpulan pegawai China pada Isnin, sekali gus menyaksikan ketegangan semakin memuncak antara dua negara.
Pasaran di Malaysia dan Indonesia menokok kira-kira 3% manakala China susut 0.2% dan Seoul juga jatuh 1.6%.
Usaha untuk memerangi krisis kesihatan ini menimbulkan polemik dalam pasaran apabila pelabur menyatakan kebimbangan mengenai laporan Pfizer kemungkinan tidak dapat memenuhi pengeluaran vaksin tambahan sehingga pertengahan tahun hadapan.
Menurut Reuters, harga minyak jatuh pada Selasa meningkatkan kerugian yang dialami pada sesi sebelumnya apabila California dikenakan perintah berkurung dengan jangkitan itu semakin merebak di AS dan Eropah.
Harga minyak Brent jatuh 51 sen atau 1.1% kepada AS$48.28 setong setakat 0744 GMT manakala West Texas Intermediate (WTI) jatuh 45 sen atau 1% kepada AS$45.31 setong.
Kedua-dua kontrak penanda aras ini mengalami kerugian kira-kira 1% pada Isnin. - DagangNews.com