Butiran penstrukturan 5 tahun Bank Iskam diumum 21 April ini | DagangNews Skip to main content

Butiran penstrukturan 5 tahun Bank Iskam diumum 21 April ini

 

KUALA LUMPUR 17 April - Syarikat induk Bank Islam Malaysia Bhd, BIMB Holdings Bhd telah bersedia untuk menyelesaikan penstrukturan semulanya pada Ogos dan akan mendedahkan perincian mengenai rancangan pasca penstrukturan lima tahunnya pada Rabu ini.

 

"Butiran selanjutnya mengenai status penstrukturan semula, rancangan pasca penstrukturan dan perancangan masa depan untuk kumpulan perkhidmatan kewangan itu akan dinyatakan dengan lebih lanjut minggu depan, 21 April," kata  Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed kepada pemberita di luar acara AMAL Ihtimam Ramadan Bank Islam 2021 anjuran bank itu di sini hari ini.

 

BIMB Holdings kini dalam proses penstrukturan semula yang akan menyaksikan Bank Islam mengambil alih status penyenaraiannya di Pasaran Utama, menurut laporan Bernama. 

 

Pada Selasa, kumpulan itu menyatakan rancangan untuk menerbitkan 222.22 juta saham baharu, mewakili 12% daripada modal terbitan saham di bawah langkah penempatan sahamnya yang akan menjana sejumlah RM795.6 juta.

 

Lembaga Tabung Haji (TH) adalah pemegang saham terbesar BIMB Holdings dengan 53.14% kepentingan, diikuti oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan 12.24% kepentingan, Permodalan Nasional Bhd (10.93%), Yayasan Pelaburan Bumiputra (5.07%) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) sebanyak 2.65%.

 

 Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed

 

Sementara itu, bersempena Ramadan tahun ini, Bank Islam telah memperuntukkan RM174,000 untuk program kebajikan sosial bagi manfaat segenap lapisan masyarakat termasuk barisan hadapan yang berkorban untuk mengawal jangkitan COVID-19 serta anggota media yang terus memberikan berita-berita terkini kepada masyarakat.

 

“Tahun ini juga kami berpeluang untuk bekerjasama dengan Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur yang sangat sinonim dengan penyediaan dan pengagihan bubur lambuk setiap kali Ramadan tiba.

 

"Lebih 3,000 pek bubur lambuk akan disediakan secara gotong-royong oleh Ahli Jawatankuasa Masjid dan sukarelawan Bank Islam terpilih untuk diedarkan kepada barisan anggota beruniform serta orang ramai di kawasan sekitar Kuala Lumpur hari ini,” jelas beliau.

 

Bank Islam turut menyumbang zakat bernilai RM5,000 kepada masjid berkenaan bagi manfaat komuniti dan jemaah setempat.

 

“Dengan hasrat untuk berkongsi rezeki, seramai 15 orang asnaf terpilih di sekitar kawasan Kampung Baru akan menerima sumbangan berjumlah RM300 berupa barangan keperluan dapur dan wang tunai pada hari yang sama.

 

“Semoga usaha kecil kami ini dapat memberikan kegembiraan dan meringankan beban yang mereka tanggung. Bank Islam akan terus berusaha menyediakan bantuan kepada mereka yang terkesan ekoran pandemik COVID-19,” tambahnya. - DagangNews.com